KUALA LUMPUR: Seorang wanita terselamat selepas kereta Perodua Axia dipandunya dihempap pokok ketika berada di kawasan sistem transit aliran ringan (LRT) Taman Megah, Petaling Jaya, malam tadi. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.39 malam dan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian. Menurutnya, sebaik tiba, didapati sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta Perodua Axia di mana terdapat wanita berusia 33 tahun di dalamnya. “Mangsa berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat seterusnya diserahkan kepada keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini. Sementara itu, di Kuala Lumpur, tiga kenderaan rosak selepas dihempap pokok di Desa View Kondominium, Jalan Besar, Wangsa Maju, di sini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada 6.34 petang, seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian. Komander Operasi, Mohamad Arif Nasarudin berkata, seramai sembilan anggota BBP Wangsa Maju dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati sebatang pokok menghempap tiga kenderaan. “Anggota membuat tindakan memotong pokok yang menghempap kenderaan dan menghalang lalu lintas di lokasi kejadian. “Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga turut membantu semasa menangani insiden ini, namun tiada mangsa yang terbabit di lokasi,” katanya. Sumber - Buletin TV3 |
ADVERTISEMENT