SEOUL, KOREA SELATAN- Sesi forum satu yang berlangsung sempena Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2024 hari ini dihangatkan dengan persoalan dibangkitkan peserta Malaysia yang menanyakan apakah undang-undang antarabangsa yang belum dilanggar Israel terhadap Palestin. Persoalan itu dibangkitkan Mohd. Daud Mat Din yang merupakan peserta Malaysia pada sesi forum satu SDD 2024 bertajuk ‘Deterring War and Preserving Rules-Based International Order’. Pada sesi forum itu, seramai tiga ahli panel telah dijemput bagi mengupas isu berkaitan peperangan dan undang-undang antarabangsa antaranya Menteri Pertahanan Kanada, Bill Blair. Turut serta Menteri Pertahanan Republik Korea, Kim Yong Hyun dan Pengerusi Jawatankuasa Ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), RobBauer. Mohd. Daud membangkitkan persoalan itu selepas RobBauer menerusi pembentangannya menyebut kedaulatan undang-undang terpakai kepada semua.
Bersandarkan kepada kenyataan dan hujah tersebut, Mohd. Daud menanyakan berkaitan undang-undang antarabangsa yang belum dicabul Israel berikutan serangan berterusan mereka terhadap Palestin. “Pengerusi Jawatankuasa Ketenteraan NATO ada menyatakan yang undang-undang antarabangsa terpakai kepada semua, malah kesemua ahli panel ada menyebut dan menegaskan tentang tindakan Rusia ke atas Ukraine. “Dengan merujuk dan menjadikan konflik yang masih berlarutan tersebut sebagai perbandingan utama, pada pandangan anda, apakah lagi undang-undang antarabangsa yang dirasakan masih belum dilanggar Israel dalam serangannya ke atas Palestin,” soalnya. Susulan itu, wakil NATO menjawab persoalan diutarakan Mohd. Daud dengan menyifatkan apa yang dilakukan Israel terhadap Palestin sebagai langkah yang tidak betul sepenuhnya. Katanya, isu Israel-Hamas memerlukan perbincangan seimbang berbanding dengan konflik Rusia-Ukraine yang bermula dengan serangan oleh Rusia kepada sebuah negara berdaulat. Persoalan dibangkitkan Mohd. Daus sekali gus menyaksikan wakil Malaysia sentiasa mengambil peluang dan ruang yang ada untuk memastikan penjajahan, pembunuhan beramai-ramai serta usaha penghapusan etnik Palestin ditonjolkan di peringkat antarabangsa. Perkara tersebut bukan sahaja selari dengan pendirian dan dasar luar Malaysia, tetapi diskusi dan dialog seperti SDD 2024 dilihat membuka ruang untuk komuniti antarabangsa melihat sendiri pendirian sesetengah organisasi dan pemimpin dunia yang tidak seimbang dengan prinsip dipegang sebelum ini. Terdahulu, SDD 2024 yang membuka tirai hari ini dirasmikan Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck- Soo. Forum antarabangsa itu menyaksikan penyertaan seramai 900 delegasi dari 64 negara dan pelbagai organisasi seperti Kesatuan Eropah (EU) dan NATO. Sumber -KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT