PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui jumlah kepimpinan wanita yang menjawat jawatan tinggi dalam negara seperti ketua setiausaha (KSU) kementerian dan ketua pengarah (KP) tidak mencukupi. Perdana Menteri berkata, terdapat keperluan untuk menambah bilangan kepimpinan wanita bagi jawatan tertinggi itu. Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah pimpinan wanita sedia ada kini tidak mencerminkan kepada jumlah 42 peratus wanita yang terlibat sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam. “Kalau ditanya, memang tidak cukup (pemimpin wanita). Seriously saya memang ada bincang dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali), kita harus cari jalan supaya pimpinan KSU, KP itu bertambah,” katanya pada sesi soal jawab sempena Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD) di sini hari ini. Sesi townhall selama lebih dua jam itu turut dihadiri Mohd Zuki, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Presiden PPTD Datuk Seri Isham Ishak, Presiden Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Tan Sri Abdul Halim Ali dan lebih 2,000 PTD.
Ketika ini, antara pimpinan wanita yang menjawat jawatan penting dalam negara termasuk Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin dan Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi. Sementara itu, hanya dua wanita yang menjawat jawatan KSU iaitu Datuk Maziah Che Yusoff bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Datuk Seri Suriani Ahmad bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Sumber - KOSMO! ONLINE. |
ADVERTISEMENT