LONDON – Seorang wanita mendakwa merakam imej lembaga menyerupai kanak-kanak di sebuah rumah agam terbiar di Britain, lapor akhbar Mirror UK semalam. Rumah itu milik seorang bekas Ahli Parlimen, Horace Trevor-Cox yang berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua. Selepas kehilangan kerusi pada 1945, Trevor-Cox tinggal di rumah tersebut yang terletak berhampiran Salisbury, di luar bandar Wiltshire. Dia meninggal dunia pada 2005 dan rumah itu kini terbiar. Bagaimanapun, seorang wanita bernama Jayde McKenner berasa terganggu ketika melawat rumah tersebut baru-baru ini. “Saya ingin melihat bagaimana keadaan rumah itu. Semua perkakasan di dalamnya adalah barangan lama seperti perabot vintaj dan almari gaya Perancis. Terdapat juga banyak sarang labah-labah dan lubang di lantai. “Saya berasa seperti sedang diperhatikan. Seluruh tempat itu mempunyai perasaan ngeri,” katanya.
Dalam salah satu gambar dirakam, satu lembaga kelihatan seperti kanak-kanak dikatakan memandang ke arah kamera dari hujung koridor. “Saya duduk di atas katil dan mula melihat kembali gambar yang dirakam. Saya percaya ia adalah hantu,” jelasnya. – AGENSI |
ADVERTISEMENT