Melaka: Jurukimpal yang baru tiga minggu berkahwin didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku salah memiliki bahan pornografi kanak-kanak, tahun lalu. Hakim Darmafikri Abu Adam ketika menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah menimbangkan fakta kepentingan awam iaitu kesalahan dilakukan tertuduh, Muhammad Rafie Razak,30, adalah serius. Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda itu. Lelaki itu didakwa memiliki pornografi kanak-kanak di dalam aplikasi Google Drive dan telefon bimbitnya di sebuah rumah di Bukit Baru pada 13 Februari 2023, kira-kira jam 4.45 petang. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum berpandukan seksyen sama. Jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom sementara tertuduh diwakili peguam Umar Zulkarnain. Terdahulu, peguam memohon hukuman denda ringan kerana itu adalah kesalahan pertama tertuduh yang bekerja sebagai jurukimpal. Katanya, anak guamnya yang baru tiga minggu berkahwin sudah menyesal atas kesalahan dilakukan dan berjanji tidak mengulanginya pada masa depan. Sumber : Harian Metro |
ADVERTISEMENT