Naqiu mendedahkan pernah berdepan dengan seorang pengajur acara yang hanya memberi janji kosong untuk mengadakan konsert kumpulan Boboy. Naqiu atau Wan Naqiudin Mohd Najib, 38, dia mula berjumpa individu berkenaan pada penghujung tahun 2021 namun selepas beberapa kali pertemuan konsert yang dijanjikan tetap tidak terlaksana.
"Rasanya saya hanya jumpa dia dan buat kemunculan percuma. Dah banyak kali berjumpa dan beberapa tarikh dicadangkan, namun semua tidak menjadi. "Dia sekadar beri janji palsu dan saya rasanya tujuan berjumpa adalah untuk dekat dengan saya. Dia 'pancing' ajak jumpa dan bercakap tentang konsert sekejap sahaja. Selebihnya berbual berkaitan perkara lain. "Jadi sebab itu saya jadi tawar hati dengan penganjur berkenaan. Kalau dia mahu tawarkan sekali lagi mungkin saya akan tolak," katanya kepada mStar. Naqiu ditemui ketika majlis bersama media sempena penganjuran majlis After Hours Bersama Hetty Konsert Endang (AHBHKE) yang diadakan di Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah vokalis band Boboy ini, apabila melibatkan persembahan atau konsert bersama kumpulan itu dia cukup teliti dan mahu mengetahu setiap perancangan yang dibuat. Baginya Boboy adalah sudah punya nama dan kelompok peminat tersendiri yang seharusnya diambil kira oleh setiap penganjur. "Semestinya saya mahukan sebuah konsert bersama Boboy. Sebab itu jika ada penganjur yang berminat saya akan libatkan diri dalam perancangan. Jika hanya melibatkan persembahan solo saya akan serahkan kepada pengurus. "Saya bukannya minta bayaran terlalu tinggi atau layanan berlebihan. Cuma penganjur harus tahu kumpulan ini sudah mula sejak tahun 2001 dan tak mungkin saya boleh diterima jika diberikan harga seperti awal kemunculan dahulu. "Kalau bercakap tentang Boby saya amat teliti. Jangan main-main sebab kumpulan ini sangat bermakna dalam hidup saya," tegasnya. Sementara itu bercakap tentang acara AHBHKE yang bakal berlangsung pada 24 Februari ini, Naqiu meluahkan rasa teruja apabila dapat berkongsi pentas bersama figura terkenal itu. Baginya Hetty bukan sahaja menjadi juri sepanjang penglibatan dalam program Gegar Vaganzaa sebelum ini, malah turut dianggap sebagai guru yang banyak memberi bimbingan. "Sejujurnya komen-komen Hetty banyak membentuk diri saya sekarang ini. Dia bukan sahaja juri malah saya anggap sebagai ibu juga. "Hetty banyak mengajar dalam setiap persembahan. Kalau sambil berbual pun dia akan sempat berkongsi ilmu. Jadi pastinya saya bangga dapat membuat persembahan bersama," jelasnya. Acara tersebut bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor dan tiket boleh dibeli secara atas talian di www.tix-box.com. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT