Pengacara dan pelakon, Yasmin Hani, 45, selesa mengekalkan hubungan baik dengan bekas suaminya, Sha'arin Razali demi memastikan dua anak mereka membesar dengan baik meskipun sudah bercerai. Yasmin atau nama sebenarnya, Yasmin Hani Ismail Richardson ditemui berkata, hubungannya dengan bekas suami lebih rapat dan kerap berkomunikasi selepas berpisah kerana mahu memastikan anak-anak terus merasai kasih sayang ibu bapa. "Sekarang, hubungan saya dan Sha'arin masih baik dan rapat. Malah, boleh dikatakan kami lebih banyak berborak bersama berbanding saya dengan Alif Hadi (kekasih) sendiri, terutama untuk mengatur pengurusan anak-anak ke sekolah. "Kami memilih untuk lebih bertamadun dengan mengelak mencaci maki sesama sendiri walaupun tidak lagi bergelar suami isteri. Ini kerana, kami tidak mahu anak terkena tempias daripada perceraian yang berlaku," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Yasmin, dia bagaimanapun tidak menyangka hubungan dijalin dengan bekas suaminya agak baik selepas bercerai dan sentiasa mendoakan agar lelaki itu dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. "Saya pun tak sangka yang kami boleh jadi baik dan rapat selepas bercerai demi anak-anak. Dia (Sha'arin) banyak bantu dalam pengurusan anak-anak dan saya sentiasa mendoakannya agar dipanjangkan umur dan terus dimurahkan rezeki. "Kami juga merancang membawa anak-anak bercuti di Bali, Indonesia pada Mac depan dan turut meraikan hari lahir Sha'arin di sana. Tidak hanya itu, kami turut mempunyai perancangan untuk mengerjakan umrah pada hujung tahun ini. "Sha'arin memang ada sebut nak membawa anak-anak untuk mengerjakan umrah bersama. Jadi, saya ada mengatakan padanya mahu ke Tanah Suci juga untuk tunai umrah buat pertama kali dengan menyertai mereka," katanya. Terdahulu, Yasmin hadir pada majlis pelancaran drama Gemersik Berbisik lakonannya arahan Amor Rizan yang akan menemui penonton di saluran Unifi TV Original. Bekas pengacara program Muzik@Ria ini juga berkata, hubungan baik dengan bekas suami turut meraih perhatian ramai wanita yang berhadapan masalah dengan pasangan meminta nasihat daripadanya. "Saya ada menerima mesej langsung (DM) daripada individu yang mahu meminta cerai dan sudah berpisah bagi mendapatkan nasihat menjaga hubungan baik demi anak mereka dengan bekas pasangan. Tapi, apa yang boleh saya kata, fikir panjang dulu sebelum buat keputusan bercerai dan jangan berebut anak," katanya. Yasmin dan Sha'arin yang juga bekas pemain dram kumpulan Blackrose mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong, 10, dan Eissa Elzander Wong, 7. Namun, jodoh tak panjang dan mereka sah bercerai pada Disember 2021. Sumber : Harian Metro |
Burong_Hantuk replied at 11-1-2024 02:24 PM
sorry kau makin nampak cheap
rayna_raynes replied at 11-1-2024 02:42 PM
Well I'd like to look as hot as her di usia mid 40s haha
jalfa replied at 11-1-2024 03:16 PM
Hint bgtau kat bf kalo x propose aku aku get back dgn duda semula
ADVERTISEMENT