Datin Seri Heliza Helmi memberitahu dia seorang yang teliti dalam memilih tawaran lakonan. Katanya dia mahu memastikan setiap tawaran yang diberikan mampu memberi manfaat kepada penonton agar hasil kerjanya bukan sekadar hiburan kosong.
Malah, dia juga akan berbincang dengan suami serta mendapatkan pandangan guru sebelum membuat keputusan daalam menerima tawaran itu. "Kalau terima tawaran saya akan solat istikharah dahulu. Kemudian bincang bersama suami dan keluarga. Saya juga akan dapatkan nasihat guru. "Sebelum buat keputusan kenalah berbincang secara terperinci. Sekiranya ia memberi manfaat barulah saya akan teruskan," katanya kepada mStar.
Bersetuju menerima tawaran filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah, Heliza juga tidak menyangka hobinya dalam sukan memanah dan berkuda dapat dikongsikan kepada orang ramai menerusi lakonan. "Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Tawaran berlakon ini datang ketika saya baru memulakan aktiviti sukan memanah dan berkuda. "Ketika itu saya berdoa dan berharap agar sukan sunah ini dapat dikongsi kepada lebih ramai orang, jadi tak mungkin saya tolak tawaran berlakon watak dalam filem ini," ujarnya.
Dalam filem itu Heliza membawakan watak Siti iaitu seorang pahlawan wanita yang hebat seni mempertahankan diri selain tangkas memanah sambil berkuda. Bercerita lanjut, Heliza mengakui ia bukanlah satu cabaran mudah namun dengan bantuan pelakon lain serta kru produksi, dia dapat menghabiskan setiap babak berkenaan. Malah dia juga melakukan sendiri babak filem tersebut tanpa bantuan pelakon aksi atau stuntman.
"Hanya ada beberapa babak sahaja yang bukan saya lakukan sendiri kerana ketika waktu penggambaran saya sedang mengerjakan ibadah umrah. Selain itu semua saya buat sendiri termasuk aksi berlawan.
"Memanglah ada kecederaan dan apa yang dirancang tidak semua menjadi. Kuda ketika berlakon juga tidak sama dengan ketika saya menjalani latihan jadi ada sedikit kesukaran di situ," jelasnya. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|