Personaliti media sosial Maryam You Narae mengakui ecewa apabila terdapat segelintir netizen yang mudah menghakimi penampilannya di media sosial meskipun ramai tahu dia masih baru memeluk Islam.
Kata Maryam, dia terkilan setiap kali membaca komen-komen negatif tentang penampilannya sedangkan masih ramai individu di luar sana yang belum menutup aurat dengan sempurna. "Apa salah saya sebagai mualaf yang masih belajar tentang Islam ini sering dihukum? "Bukankah ramai lagi orang Islam di luar sana yang masih belum menutup aurat?," katanya. Pun begitu, Maryam yang juga merupakan isteri kepada pempengaruh media sosial Ryzal Ibrahim ini memberitahu dia sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk membantu perjalanan hidupnya sebagai mualaf di Malaysia dipermudahkan. Dalam perkembangan lain, Maryam juga baharu sahaja melancarkan produk khimar dengan jenama Maryamnarae.
Dia memulakan bisnes pakaian muslimah ini sebagai tanda untuk menghargai nikmat rezeki yang telah dikurniakan Allah. Bagaimanpun, pelakon filem Mat Tudung Begins ini akui agak terkilan apabila pemakaian khimar masih belum boleh diterima ramai lebih-lebih lagi di negara kelahirannya, Korea Selatan. “Pada Oktober lalu, saya balik ke Korea. Saya ada berkongsi video memakai khimar ketika ke pasar. Video tersebut telah viral dan menerima 12 juta tontonan. “Orang-orang di Korea melihat saya dalam keadan pelik. Sebagai manusia, saya juga ada perasaan takut dan tertanya-tanya apa yang mereka fikirkan. “Buat pertama kalinya, saya mengeluh kepada Allah. Kalau nak saya memeluk Islam, kenapa lahirkan saya sebagai orang Korea dan bukannya orang Malaysia? Kenapa beri saya situasi susah?,” ujarnya lagi. Bagaimanapun, hal tersebut tidak sesekali melunturkan semangatnya untuk berkongsi tentang keindahan Islam.
“Kemudian saya dapat jawapan. Kerana saya orang Korea Selatan dan seorang muslim, jadi, lebih mudah untuk saya mendekati mereka dan berkongsi tentang Islam. “Saya akan terus tunjukkan perkara yang baik-baik. Sama seperti suami saya, Ryzal. Ketika dia membawa saya memeluk Islam, dia tak pernah paksa saya buat itu ini tapi dia menunjukkan contoh. “Bila sudah terbiasa, saya pula ada keinginan untuk belajar sendiri. Setiap perkara yang berlaku ada prosesnya. Kita tak boleh terus berubah 360 darjah,” ulasnya lagi. Untuk rekod, Maryam dilaporkan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Imam Masjid Itaewon, Seoul, Korea Selatan pada 11 Julai 2019. Maryam mendirikan rumah tangga dengan Ryzal atau Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim, 31, pada 15 Ogos 2019 selepas mengenal hati budi di Korea Selatan. Hasil perkahwinan mereka, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Rina yang kini berusia dua tahun. Sumber: mStar, Media Hiburan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|