MK K-Clique tidak pernah menghalang isterinya iaitu Siti Hajaar untuk menceburi bidang seni. Namun isterinya itu tidak berminat untuk menjadi seorang pelakon. "Kami akan berbincang mengenai perkara ini dan saya tidak pernah halang dia asalkan perkara itu mengajak kepada kebaikan tiada halangan. "Isteri saya tak minat berlakon... dia kalau nak berlakon pun bergandingan dengan saya. Itu dia nak dan dia suka," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, MK memaklumkan isterinya ada menerima beberapa tawaran untuk menjadi model iklan produk.
Kata MK, dia tidak pernah menghalang isterinya untuk menjadi model bagi mana-mana produk asalkan ia membawa maksud yang baik. "Ada yang tawarkan untuk berlakon dalam iklan saja, yang serius macam drama atau filem tak ada lagi. "Iklan pun bergantung kalau macam makanan atau benda baik saya okay dan tiada halangan," kongsinya.
Sejak berkahwin dengan Hajar, MK memberitahu Hajar lebih terkenal berbanding dirinya malah sentiasa didekati peminat wanita untuk bergambar. "Isteri saya sekarang lagi popular daripada saya... Tapi dia tak cari populariti itu cuma rasa dihargai, ada orang tegur apabila berjumpa di luar," ujarnya.
Untuk rekod, MK dan Hajar atau Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26, mendirikan rumah tangga pada 16 Jun lalu. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|