Wan Hanafi Su, 73, terkilan dengan tindakan blogger yang bertanya soalan tidak munasabah mengenai isu Palestin-Israel. Pertanyaan itu dianggap lebih menjengkelkan kerana dibuat dalam bentuk permainan yang menyaksikan blogger terbabit mengajukan soalan kepada beberapa orang artis lain dalam sebuah acara hiburan baru-baru ini.
“Dia tanya sama ada saya pilih Israel atau Palestin. Saya terkejut dengan soalan itu dan saya sempat lemparkan senyuman sinis.Saya cakap tak pilih mana-mana sebab tak sangka ditanya soalan yang tak munasabah seperti itu. “Bukankah saya ini orang Islam? Sebagai orang Islam dan ditanya begitu, rasionalnya mestilah saya berpihak kepada Palestin. “Lainlah saya ini agama dan berbangsa lain. Kenapa pihak blogger itu tergamak tanya saya soalan begitu?” katanya kepada Utusan. Khamis lalu, Wan Hanafi tiba-tiba mendapat kecaman ramai apabila didakwa bersikap neutral berhubung isu Palestin- Israel yang kini turut menjadi perdebatan penduduk di seluruh dunia.
Menerusi sepotong video yang dikongsikan di TikTok, aktor itu telah diberikan dua pilihan, sama ada untuk memilih Palestin atau Israel oleh blogger berkenaan. Bagaimanapun, aktor terbabit enggan memberikan sebarang jawapan selain memaklumkan jika dia berbuat demikian kemungkinan boleh mencetuskan perang dunia ketiga. Dalam pada itu, Wan Hanafi berpendapat, perkara seperti itu tidak wajar dijadikan satu permainan kerana ia merupakan satu isu sensitif. Bagaimanapun, kata aktor filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan dan La Luna ini, dia telah memaafkan kesilapan pihak terbabit selain meminta agar isu ini tidak dipanjangkan. “Tak apalah, walaupun ramai yang mengecam, saya tak ambil hati. Saya okey sahaja sebab orang ramai mungkin tersalah faham. “Memang kita sebagai manusia ini semua buat silap, jadi kita maafkan sahajalah. Tak payahlah panjangkan isu ini,”katanya. -CARI Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT