Penerbit, Datuk Ayu Puteh, menasihatkan golongan artis agar berhati-hati meletakkan kepercayaan kepada pengurus mereka.
Dedah Ayu, atau Normashayu Puteh, terdapat pengurus yang sengaja menolak tawaran kerja tanpa berbincang atau memaklumkan kepada artis mereka terlebih dahulu.
“Saya pernah berdepan dengan situasi di mana artis itu terkejut kerana tidak tahu pernah menerima tawaran berlakon daripada kami kerana tidak dimaklumkan oleh pengurusnya. “Saya enggan bercakap lebih kerana tidak mahu hubungan pengurus dan artis itu renggang.
“Biarlah artis itu tahu sendiri perangai pengurusnya yang ‘sampah’, ” katanya.
Bukan itu sahaja, pengurus terbabit turut mencadangkan nama lain iaitu seorang pelakon yang bukan di bawah jagaannya untuk mengisi karakter tersebut.
“Ada juga pengurus yang bercakap dengan kami seolah-olah ingin menjatuhkan artis mereka.
“Bukan itu sahaja, dia turut mencadangkan artis lain untuk menggantikan tawaran yang diberikan kepada artis mereka. Rupanya tidak lama selepas itu, kami terima berita mereka sudah berpecah.
“Jadi kepada artis, berhati-hatilah mempercayai pengurus anda,” katanya.
Sebelum Ayu, penerbit dan pelakon Dr. Ahmad Idham pernah menegur tindakan pengurus artis yang lebih diva.
Ahmad Idham turut mengatakan beberapa pengurus tidak layak dipanggil pengurus sebaliknya hanyalah seorang pembawa baju dan pemandu kereta sahaja. Sumber: Utusan |
ADVERTISEMENT