New Delhi: Rumah keluarga terbesar di dunia terletak di Perkampungan Baktawng, Mizoram dekat timur laut India, di mana ia dihuni oleh 199 individu tinggal di bawah satu bumbung dalam sebuah bangunan 'gergasi'.
Oddity Central melaporkan, Pu Ziona adalah ketua keluarga terbesar di dunia itu dan mempunyai 38 isteri, 89 anak, dan 36 cucu. Ziona meninggal dunia dua tahun lalu pada usia 76 tahun akibat komplikasi kesihatan yang disebabkan oleh hipertensi dan diabetes namun keluarganya terus tinggal di bawah bumbung sama di kompleks kediamannya dekat bukit Baktawng. Beberapa anaknya mempunyai isteri, ada yang lebih daripada seorang, dan bilangan ahli keluarga kini berjumlah 199 orang. Mereka semua berkumpul di dewan besar rumah mereka dua kali sehari untuk makan, dalam pemandangan seperti kantin yang sibuk. Ahli berkongsi segala-galanya, daripada beban kerja harian kepada makanan dan kewangan.
"Saya bukan ayah saya! Dia dipilih oleh Tuhan, tetapi kami hanya manusia biasa dan tidak boleh mempunyai ramai isteri," kata Record, salah seorang anak lelaki Ziona baru-baru ini memberitahu The Straits Times. Ahli keluarga yang lain terbuka untuk menghantar anak mereka ke tempat di mana mereka mungkin mendapat pendidikan lebih baik dan meningkatkan peluang untuk berjaya dalam hidup. Ketika ini, terdapat sebuah lagi rumah dibina di kampung untuk keluarga besar itu namun ia masih menarik kedatangan pelancong ke Baktawng. Difahamkan, Ziona mengetuai fahaman Kristian millenarian yang dikenali sebagai Chhuan Thar Kohhran (Gereja Generasi Baru) dan dianggap 'lelaki pilihan Tuhan'. Oleh kerana itu, dia tidak mendapat tentangan daripada masyarakat atau keluarganya sendiri setiap kali berkahwin baru. Sebaliknya, penduduk tempatan senang hati mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang sangat dihormati itu. Walaupun sudah hampir dua tahun pemergian Ziona, legasinya dapat dirasai dalam komuniti. Buktinya, gambar dan lukisan potretnya masih menghiasi rumah keluarga keluarganya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT