KUALA LUMPUR – Sirul Azhar Umar yang dihukum mati atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 berpeluang untuk diekstradisi ke Malaysia sekiranya hukuman mati terhadapnya dipinda.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu adalah salah satu daripada syarat yang terkandung dalam perjanjian ekstradisi bagi pesalah jenayah antara Malaysia dan Australia. “Memang ada perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan Australia, tetapi di Malaysia status Sirul Azhar dia dijatuhi hukuman mati, sementara Australia sebuah negara yang tidak mengiktiraf atau mengenakan hukuman mati. “Satu daripada syarat ekstradisi untuk membolehkan ia dilaksanakan mesti ada elemen “dual criminality”. Satu kesalahan mesti jadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang membawa kepada hukuman yang sama,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Bagaimanapun, Saifuddin Nasution menjelaskan, Malaysia baru saja tidak lagi melaksanakan hukuman mati mandatori walaupun hakikatnya hukuman mati masih wujud dengan memberi budi bicara kepada mahkamah. Justeru, kata beliau, Bekas anggota Unit Tindakan Khas itu melalui peguamnya boleh mengemukakan permohonan sesuai dengan undang-undang yang telah dipinda dan jika hasilnya tidak membawa hukuman mati, maka perjanjian ekstradisi boleh dikemukakan. Katanya, beliau namun tidak mempunyai maklumat sama ada Sirul Azhar termasuk dalam senarai 900 kes permohonan bagi semakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat setakat 9 November 2023 di Malaysia. Terdahulu, beliau menerangkan, pesalah yang telah dijatuhkan hukuman mati di negara ini lebih 1,000 orang dan lebih 900 daripadanya telah mengemukakan permohonan untuk semakan semula hukuman mati. The Sydney Morning Herald baru-baru ini melaporkan Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sirul Azhar, 51, yang juga pengawal peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh ditahan selamanya-lamanya oleh pihak imigresen negara tersebut. Sehubungan itu, Sirul Azhar dibebaskan dari Pusat Tahanan Villawood di Sydney bersama 92 tahanan lain, namun dibenarkan kekal di negara tersebut di bawah syarat khas yang ditetapkan. Tambah laporan itu, anak lelaki Sirul, Shukri Azam yang tinggal di Canberra turut mengesahkan pembebasan bapanya. Sirul Azhar berada dalam tahanan imigresen Australia sejak tuntutannya untuk mendapatkan suaka di negara itu ditolak pada tahun 2019. Kerajaan Australia enggan menghantarnya pulang ke Malaysia kerana dia berdepan hukuman mati. Sirul Azhar dijatuhi hukuman di tali gantung kerana disabitkan atas pembunuhan Altantuya iaitu warga Mongolia yang merupakan penterjemah. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT