Penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, masih belum lagi mendapat maklum balas terkini berhubung permohonan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dibuatnya tahun lalu, serta tawaran Rumah Selangorku daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Zaiton berkata, dia bercadang akan menghubungi pihak-pihak terbabit untuk bertanyakan status terkini permohonan bantuan rumah PPR itu, termasuk tawaran rumah daripada kementerian kepadanya. "Setakat ini, perkembangan mengenai permohonan bantuan rumah PPR di sekitar Kuala Lumpur yang saya mohon pada tahun lalu, masih tidak menerima apa-apa jawapan lagi, begitu juga kediaman ditawarkan oleh pihak kementerian itu. "Saya akan tunggu sampai 15 November ini dan kalau masih tidak mendapat apa-apa jawapan, barulah saya buat tindakan susulan kepada pihak-pihak berkenaan," katanya. Penyanyi lagu Kabut Serangkai Mawar dan Menaruh Harapan ini berkata, dia berasa layak menjadi penerima rumah PPR kerana sudah mengisi borang permohonan bantuan kepada pihak berkaitan pada tahun lalu, serta mengambil kira keadaan kehidupannya.
Sehingga kini, Zaiton yang menumpang kasih dengan anak angkat, Che Sikah Ismail atau Ika, 47, menyewa rumah bersama keluarga wanita itu di Bukit Indah Ampang dengan bayaran bulanan RM1,000. Pada 17 September lalu, Zaiton meluahkan kisahnya yang memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada pihak berkaitan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup dihadapi selepas tawaran menyanyi. Kesempitan hidup Zaiton turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghantar wakilnya iaitu Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi untuk melawat serta menyampaikan bantuan kewangan dan bakul makanan pada 19 September lalu. Pada 14 November tahun lalu, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan. Terdahulu, Zaiton pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia. Penyanyi yang merangkul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1987 ini turut parah di bahagian kepala hingga menyebabkan dia hilang ingatan sementara. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT