Kuching: Hanya mereka yang tamak dengan tawaran lumayan saja mudah tertipu dengan sindiket pemerdagangan orang. Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, gaji yang ditawarkan menjadi faktor utama ramai belia 'gelap mata' dan tidak berfikir panjang sebelum menerima tawaran itu.
"Satu lagi sebab mengapa belia mudah masuk perangkap sindiket itu ialah keinginan untuk melancong ke luar negara. "Apabila menerima tawaran menarik ditambah dengan gaji yang dijanjikan cukup lumayan, mereka tidak berfikir panjang," katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata demikian ketika mengulas isu ramai rakyat Sarawak yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang di luar negara. Abdul Karim berkata, ketika melihat tawaran daripada sindiket, ramai yang tamak mendapat gaji lumayan itu membuat keputusan sendiri tanpa merujuk dengan orang lain.
"Apabila sudah terperangkap, barulah mereka sedar dan meminta bantuan untuk membebaskan mereka daripada sindiket itu. "Masalah itu dapat dielak jika mereka menggunakan akal serta mendapat nasihat orang lain, tetapi apa yang berlaku ramai yang gelojoh apabila menerima tawaran," katanya. Justeru katanya, belia Sarawak harus lebih berwaspada dan tidak menganggap isu pemerdagangan orang perkara yang remeh. "Jangan sesekali terpedaya dengan janji gaji lumayan terutama sekali daripada mereka yang tidak dikenali. "Kebanyakan kes mangsa yang membabitkan rakyat Malaysia termasuk dari Sarawak adalah mereka terpedaya dengan janji manis terutama gaji tinggi serta dapat melancong ke luar negara," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT