Seorang wanita memilih untuk bercerai selepas suaminya disahkan mandul. Berkahwin selama 11 tahun, dia mengakui perpisahan yang bakal dilakukan itu bukanlah kerana suaminya tidak dapat memberikan zuriat.
Sebaliknya ia disebabkan sikap suami yang tidak mahu menerima kenyataan dan selain enggan jujur dengan keluarganya sendiri. “Betulkah kalau suami disahkan mandul, isteri boleh tuntut fasakh? Saya minta untuk berpisah dengan cara baik tetapi suami enggan lepaskan saya. “Kami dah berkahwin 11 tahun dan suami sering tuduh saya mandul kepada keluarganya,” tulisnya di Facebook. Malah katanya, dia mempunyai laporan daripada dua buah klinik yang menyatakan suaminya mempunyai masalah kesuburan. Ekoran daripada itu, dia mencadangkan supaya mereka mengambil anak angkat bagi mengisi kekosongan dalam rumah tangga.
Namun malangnya, hasrat tersebut tidak mendapat persetujuan. "Sudah dua klinik sahkan suami saya mandul... saya berhasrat nak ambil anak angkat tetapi suami tak izinkan. "Dia risau saya akan hibahkan harta kepada anak angkat jika kami tiada anak kandung," luahnya lagi. Menyedari situasi tersebut turut membabitkan harta, wanita ini nekad untuk menyerahkan semula setiap pemberian suaminya selama tempoh mereka berkahwin. Baginya, dia bersedia mengambil tindakan sedemikian sekiranya ia boleh membantunya meneruskan tuntutan fasakh. Dia juga menyatakan suami sudah menghapuskan rekod keputusan kesuburan daripada dua klinik yang diperiksa. Malah katanya, suami yang dinikahi itu merupakan seorang duda dan pernah bercerai disebabkan tidak mempunyai anak. Hantaran yang dibuatnya itu mendapat pelbagai reaksi warga maya dengan kebanyakannya meluahkan rasa simpati. Malah ada yang menyatakan bahawa suaminya hanya inginkan harta wanita itu sahaja. "Boleh minta fasakh tetapi siapkan bukti menyatakan dia mandul. Kes macam ni senang sahaja, suami takut harta jatuh kepada orang lain... nampak sangat dia nak harta kau. "Saya sokong awak sis. Fasakh saja, gamak burukkan sis pada keluarga dia. "Sendiri mandul, sendiri salahkan orang lain... patutnya dia jaga aib isteri, pertahankan isteri. Ini dia sendiri yang tuduh isteri. "Suruh suami kahwin lagi, tengok mengandung atau tidak isteri baru dia tu," ujar beberapa warga maya. Tidak kurang juga yang mencadangkan supaya wanita ini membantu suaminya melakukan rawatan kesuburan bagi mengatasi masalah yang timbul. "Berikhtiar, berubat lebih baik daripada cerai. "Cuba bawa suami berubat dengan ustaz, ramai dah yang berubat berjaya mendapat zuriat... kita iktiar," tambah beberapa lagi netizen. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT