Seorang tukang masak, Asma Nordin menegur tentang peniaga yang menggunakan peralata dapur yang kotor dan nampak menjijikkan. Antaranya pinggan dan periuk di dapur yang tidak dicuci dengan betul sehingga akhirnya 'berdaki' kehitaman pada bahagian bawahnya.
"Kalau dah kotor sangat pinggan mangkuk tu tolong pergi buang, kalau macam ni rupanya dengan pakej berlumut, geli rasa nak makan. "Ini mesti jenis basuh yang main celup-celup je, patut kena sental dan gosok bahagian punggung tu. Lagi satu, kalau gelas atau mangkuk tu dah retak, boleh pergi cari baharu, kedai macam-macam ada yang jual murah. "Kalau rasa malas sangat, boleh guna bekas pakai buang je, jimat air dan jimat sabun, tak perlu guna ramai tenaga kerja, dan terjamin bersih," kata Asma di Facebook. Asma juga menyentuh tentang haiwan peliharaan dan keadaan tandas di dalam sesebuah restoran.
"Kalau boleh, jangan la ada binatang peliharaan seperti kucing berkeliaran berdekatan dengan tempat penyediaan makanan kita. Tak salah nak pelihara, tapi biar di luar je. "Ini sampai kucing naik atas meja dan duduk main-main pegang bulu kucing, lepas tu memasak. Dalam kursus pengendalian makanan pun dah memang diajar, tempat penyediaan mesti bersih. "Lagi satu, tandas dalam kedai kalau dah rupa berlendir, pelanggan tengok pun boleh loya. Singki cuci tangan juga tolong bersihkan selalu, ini kalau dah hitam legam, kita nak basuh tangan boleh terus potong selera. "Bahagian tepi singki tu patutnya kena sental dengan berus dawai," tambah Asma. Asma kemudiannya sempat memberikan pesanan kepada peniaga di tepi jalan. "Kepada peniaga di tepi jalan tu, terutamanya mereka yang menjual pisang goreng, tolong tutup sikit makanan dengan apa-apa penutup ke, kenderaan duduk lalu-lalang boleh masuk habuk," kata Asma. Di samping itu, Asma menggariskan mengenai pemakaian yang sesuai ketika sedang mengendalikan makanan. "Kena pakai apron, pelitup muka, berkasut penuh dan wajib tutup kepala selain tidak boleh memakai jam tangan, cincin, gelang, inai di jari dan perkara yang seangkatan dengannya ketika sedang menguruskan makanan. "Suntikan typhoid pun jangan lupa," jelas Asma. Di ruangan komen, rata-rata warga maya berasa terkejut apabila melihat keadaan pinggan dan mangkuk di sesetengah kedai. "Kebersihan patut jadi keutamaan, tak sangka ada kedai yang sanggup buat macam ni dekat pelanggan mereka. Jijiknya, kesihatan kita dirisikokan macam tu je. "Lagi satu saya nak sebut tentang kedai yang hidang guna alas daun pisang, kadang daun pisang tu mereka tak bilas pun, bila saya lalukan dengan tangan berhabuk rupanya," kata sebahagian warga maya. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT