Rom: Seorang wanita di Itali memenangi kes mahkamah iaitu tuntutan untuk mengusir dua anak lelaki, berumur 40 dan 42, dari rumahnya selepas mereka enggan keluar atau menghulurkan wang bagi meringankan bebannya.
Oddity Central melaporkan, wanita itu tiada pilihan selain pergi ke mahkamah untuk mengusir dua anak lelakinya yang sudah dewasa. Wanita berusia 75 tahun dari bandar Pavia, di utara Itali itu, sudah lama meminta dua anaknya supaya keluar dari rumah. Tambahan, kedua-duanya mempunyai pekerjaan dan mampu menyewa tempat tinggal sendiri. Bagaimanapun, mereka tidak pernah mengendahkannya malah enggan menghulurkan wang belanja atau melakukan kerja rumah. Bagi mendapat keadilan, ibu mereka tidak mempunyai pilihan selain 'mengheret' dua anaknya itu ke mahkamah. Kes mahkamah yang pelik itu baru-baru ini diakhiri dengan keputusan Hakim Simona Caterbi yang bersimpati dengan wanita itu.
Berikutan itu, Simona mengeluarkan notis pengusiran terhadap dua anak lelakinya. Dalam keputusannya, hakim berhujah bahawa menjadi kewajipan ibu bapa untuk menyediakan nafkah kepada anak-anak mereka sehingga mencapai umur 18 tahun namun tidak wajar apabila anak-anak berusia 40-an. Menurut data tahun lalu, hampir 70 peratus orang dewasa berumur 18 hingga 34 tahun masih tinggal di rumah bersama ibu bapa mereka. Meskipun begitu, kes membabitkan pengusiran ibu bapa terhadap anak sangat jarang berlaku. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT