New Delhi: Seorang bayi perempuan yang dilahirkan dengan tiga 'kepala', menggemparkan sektor perubatan India. Mirror UK melaporkan, bayi terbabit yang turut mengejutkan keluarganya, dilahirkan minggu lalu di pusat perubatan di utara India, selepas ibunya menderita kesakitan melampau.
Dia mempunyai dua benjolan besar yang terbentuk di belakang tengkorak. Bijji Thakur yang menyaksikan kelahiran itu berkata, "bayi perempuan itu mempunyai tiga kepala dan kelihatan seperti makhluk asing". Menurut pakar perubatan, ibu bayi yang tidak mengalami sebarang komplikasi sewaktu kehamilan, dirujuk ke hospital daerah di Etah, Uttar Pradesh berikutan kemudahan kesihatan yang terhad. Doktor berkata, mereka akan menjalankan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) untuk mengenal pasti keadaan kesihatan bayi itu. "Ini kes yang sangat jarang berlaku. Badan kanak-kanak itu seperti belum berkembang sepenuhnya. Kami akan melakukan imbasan MRI dan kemudian melakukan pembedahan untuk mengasingkan 'kepalanya'," jelas Ketua Perubatan Hospital Daerah Etagh, Rajesh Thakur.
Walaupun jarang berlaku, terdapat banyak kes kepala tambahan dilaporkan di seluruh dunia dan masalah itu dirujuk sebagai 'Encephalocele'. Menurut Jabatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), Encephalocele adalah sejenis kecacatan kongenital tiub saraf yang jarang berlaku, di mana sebahagian daripada tengkorak tidak terbentuk dengan betul menyebabkan tisu otak dan strukturnya berada di luar tengkorak. Laporan menyebut, bayi yang didiagnos dengan Encephalocele mempunyai kadar kelangsungan hidup 55 peratus. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT