Kuala Lumpur: Tidak hanya imej dan suara yang seiras dengan Ustaz Ebit Liew (UEL), pemakaian usahawan kek, Muhammad Riduan Mohd Noor juga seakan-akan sama dengan pendakwah bebas itu.
Perkara itu menyebabkan segelintir netizen menuduh Riduan sengaja tampil dengan imej sebegitu kerana ingin mengejar populariti di laman sosial. Bagaimanapun, Riduan berkata, dia tidak menumpang populariti sesiapa kerana niatnya aktif di TikTok untuk mencari rezeki sekali gus membantu keluarga menjual kek tapak kuda pelbagai perisa. "Saya sedar hal itu (disamakan) apabila baca komen di TikTok malah waktu COD (bayar tunai sewaktu penghantaran) kepada pelanggan pun ada yang kata suara dan muka sama (dengan UEL) "Pernah juga saya pergi ke satu tempat di Kedah untuk ceramah dan orang datang kerana sangka ada UEL kerana kebetulan, UEL baru sebulan habis program di situ. "Saya okay kerana dengar nasihat mama iaitu mana yang baik, terima saja dan buat tak tahu dengan kata negatif malah saya jadi kuat dengan sokongan keluarga serta rakan," katanya. Bercakap mengenai perniagaannya, Riduan yang aktif menerima tempahan kek tapak kuda turut meluangkan masa untuk mengajar mengaji selain berhasrat mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan kafe miliknya di seluruh negara. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT