Washington: X yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, mengumumkan pada Selasa bahawa ia sudah mula mengenakan bayaran kepada pengguna baharu di New Zealand dan Filipina untuk menggunakan ciri asas seperti menghantar mesej.
X, yang dimiliki sejak tahun lepas oleh jutawan Elon Musk dalam satu kenyataan berkata, kaedah langganan baharunya harus 'mendorong' usaha sedia ada untuk mengurangkan spam dan 'manipulasi platform dan aktiviti bot kami'. Di bawah percubaan itu, pengguna baharu di Filipina dan New Zealand perlu membayar X, AS$0.75 (kira-kira RM3.56) dan AS$0.85 (kira-kira RM4.03) setiap tahun, untuk mengakses fungsi asas seperti menyiarkan hantaran (posting) di media sosial. Mereka yang enggan membayar yuran nominal hanya akan mempunyai akses kepada versi 'baca sahaja' platform, mengehadkan mereka kepada membaca hantaran, menonton video dan mengikuti akaun.
"Ini akan menilai langkah yang berpotensi berkuasa untuk membantu kami memerangi bot dan spammer pada X, sambil mengimbangi kebolehcapaian platform dengan jumlah bayaran yang kecil," tambahnya. Pengguna sedia ada di negara berkenaan, tidak terjejas. Musk sudah membuat beberapa perubahan kontroversi terhadap pengurusan dan produk firma media sosial itu sejak dia memperoleh Twitter tahun lalu dengan harga AS$44 bilion (kira-kira RM208.9 bilion). Beliau, baru-baru ini, mencetuskan idea mengenakan bayaran nominal kepada semua pengguna untuk menggunakan laman sosial berkenaan dalam usaha menangani akaun palsu, sekali gus mengundang kritikan daripada pengguna di seluruh dunia. -CARI Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT