Kota Tinggi: Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berjaya memadam kebakaran membabitkan 23 hektar kawasan belukar di Pengerang. Ketua Balai Balai Bomba Dan Penyelamat Sebana Cove, Pengerang, Mohd Khairul Sufian Dahari, berkata masih terdapat baki sembilan hektar masih terbakar di kawasan hutan di Bypass Sebana Cove-Punggai yang memasuki hari ketiga pada hari ini.
Beliau berkata, 15 anggota dari BBP Sebana Cove, BBP Punggai dan BBP Kota Tinggi dengan tiga jentera terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran di darat. Katanya, pesawat AW139 (BMB 07) dari Pangkalan Udara Bertam bersama tujuh kru dan pesawat Bombadier Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dari Lapang Terbang Subang bersama tujuh kru turut membantu operasi pemadaman api berkenaan. "Pelbagai teknik digunakan dan operasi pemadaman dibahagi kepada lima sektor iaitu A,B,C, D dan E.
"Pemadaman di lapangan di sektor A dan C menggunakan teknik total flooding menggunakan fix monitor sumber air terbuka dari kawasan berhampiran. "Secara keseluruhannya sebanyak 27 kali pelepasan air dari helikopter Bomba jenis AW139 dan 18 kali pelepasan air dari pesawat bombardier milik APMM," katanya dalam kenyataan, hari ini. Cuaca panas dengan suhu melebihi 36 darjah celcius menyukarkan operasi mengawal dan memadam kebakaran berkenaan. Akibat kebakaran itu kawasan sekitarnya turut diselubungi asap hingga mengehadkan penglihatan kepada hanya dua kilometer. Sumber: BH Online |
ADVERTISEMENT