Johor Bahru: Walaupun sudah 10 tahun berpisah dan terputus hubungan dengan bekas suami, seorang wanita yang juga eksekutif di sebuah syarikat di Singapura, ketakutan selepas diganggu along.
Wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Yeng, 42, berkata, along itu menggugut mahu membakar rumah keluarganya di Taman Desa Jaya di sini, jika tidak membayar hutang dipinjam bekas suaminya. Katanya, bukan sahaja menghantar ugutan menerusi WhatsApp, malah along itu juga membaling cat kuning di rumah kakaknya. "Mimpi ngeri kami sekeluarga bermula pertengahan bulan lalu apabila saya menerima mesej ugutan along mendesak supaya membayar wang yang dipinjam bekas suami. "Tidak cukup dengan itu, along kemudian datang ke rumah kakak saya dan tinggalkan nota ugutan supaya membayar balik hutang bekas suami. "Pada 3 Oktober lalu, along berkenaan bertindak menyimbah cat kuning di rumah kami dan terkena pada bahagian pagar serta kereta," katanya pada sidang media di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Taman Johor Jaya di sini, semalam.
Menurut Yeng, keluarganya terpaksa mengeluarkan kos kira-kira RM2,000 untuk membaiki kerosakan akibat perbuatan along berkenaan. Ibu tunggal kepada dua anak berusia 14 dan 18 tahun itu berkata, sejak itu, beliau bimbang akan keselamatan keluarganya. "Dua anak saya tinggal bersama dengan abang, kakak serta abang iparnya di rumah berkenaan, sementara saya hanya dapat pulang dari Singapura seminggu sekali. "Kami sekeluarga susah untuk tidur kerana risau setiap malam, tidak tahu bila along berkenaan datang lagi. Sebenarnya ini bukan kali pertama bekas suami saya ada masalah dengan along. "Bekas suami pernah meminjam wang along sebelum ini. Masalah itu juga adalah punca kami bercerai. Semasa masih suami isteri, rumah lama kami juga pernah disimbah cat kerana bekas suami meminjam wang along," katanya yang sudah membuat tiga laporan polis berhubung perkara itu. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT