Penyanyi dan pelakon, Dr Soo Wincci, 38, bakal melebarkan kerjaya akademiknya sebagai profesor di University of Nottingham, Ningbo di China bermula tahun depan. Wincci yang juga bergelar pensyarah di Universiti Multimedia (MMU) berkata, dia memang tetapkan untuk tidak terikat lama dalam institusi tertentu kerana ingin menimba pengalaman berbeza.
"Perancangan saya sekarang adalah berkhidmat di MMU untuk setahun dulu. Tahun depan, saya ke China sebagai pengarah dan profesor untuk latihan terlebih dulu. Sekarang berada di fasa terakhir untuk temuduga. "Selepas itu, saya tengoklah macam mana. Sebab sekarang tawaran adalah dibuat secara tahunan. Saya pun tidak mahu terikat sangat lama. Setiap tahun saya nak pergi tempat berbeza," katanya. Wincci berkata, dia perlu ke sana sebelum usia 40 tahun kerana di China peraturannya begitu. "Mereka juga ada sukatan untuk jawatan doktor. Sekarang berada di fasa terakhir untuk temuduga," katanya.
Selain itu, Wincci juga semakin aktif terbabit dalam meneroka pasaran harta intelektual bagi membantu rakyat tempatan menjana pendapatan daripada bidang itu. "Sebenarnya pandemik Covid-19 berjaya mewujudkan banyak peluang pendapatan menerusi penjualan harta intelektual. Pekerjaan dilakukan pun tidak akan jejaskan kerjaya tetap mereka. "Contohnya penterjemahan antarabangsa. Ia boleh dijadikan punca pendapatan sampingan kerana saya sedar rakyat kita memang sangat bagus dalam bidang linguistik," katanya. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT