Dah lebih sedekad dalam industri, Eyka Farhana tak risau langsung dengan kehadiran pendatang baharu dalam dunia seni lakonan. Eyka tahu komitmen dan disiplin seseorang pelakon itu adalah antara kunci yang membolehkan mereka kekal bertahan biarpun industri dibanjiri pelakon baharu.
“Kerja dengan betul, kekalkan disiplin dan pastikan kita melaksana setiap tugasan itu dengan baik. Setiap orang ada kelebihan dan rezeki masing-masing. Tuhan sudah siap siap tulis dah, untuk kita semua. “Saya pun tahu, memang industri seni akan sentiasa ada pendatang baharu. Tidak kiralah pelakon, penyanyi atau pengacara. Saya sendiri pun pernah jadi pendatang baharu. Kalau saya terkesan sekarang, bagaimana pun pelakon senior dulu. “Insya-Allah, peluang itu ada untuk kami semua. Penerbit dan pengarah juga ada pelakon-pelakon yang mereka tahu sesuai untuk bawa watak sesebuah naskhah. Saya tidak terkesanlah,” katanya kepada Utusan.
Beberapa kali berdepan kontroversi juga sedikit sebanyak mematangkannya dalam mengharungi dunia seni. Eyka juga tahu, segelintir masyarakat memamg mudah menilai dan menghukum. “Dari dulu lagi, ada sahaja gosip atau kontroversi yang tiba-tiba tular. Ada yang cakap saya begitu, saya begini. Buatlah macam mana pun, orang akan sentiasa memberi komen positif dan negatif.
“Saya seperti sudah lali dan masak dengan persepsi itu. Ada yang boleh terima cara saya, Alhamdulillah. Terima kasih. Masing-masing ada cara dan penilaian sendiri. Kalau dah tak suka, buat baik pun akan dibenci. “Saya tidak mahu berpura-pura untuk memuaskan hati sesiapa. Siapa yang kenal saya, mereka akan terima cara saya,” ujar pemilik nama Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi ini. Menjalani kehidupan yang sibuk, bagi Eyka farhana, penting sebenarnya untuk seseorang pelakon mencari masa rehat bagi ‘melepaskan’ diri daripada tekanan kerja dan kesibukan jadual.
“Selalunya bila shooting, memang saya beri fokus 100 peratus. Hidup saya, habis penggambaran terus balik rumah. Memang tak keluar langsung. Saya bahagi masa bila bekerja dan berehat. “Kalau hendak keluar pun, kena pandai jaga diri. Saya lebih senang privasi. Apatah lagi sekarang, adik sendiri yang uruskan. Jadi di situ, ke mana-mana sahaja memang kami berdua,” ujarnya. Berkongsi perkembangan kerjaya seni, Eyka ketika ini sedang sibuk dengan penggambaran filem, Anak Perjanjian Syaitan 2 teruja kerana naskhah tersebut merupakan karya genre seram pertama lakonannya.
Mengakui diri sebagai seorang yang penakut, pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu bagaimanapun mahu mencabar diri dan tidak mahu dibelenggu dengan perasaan takut sehingga terpaksa menolak tawaran. “Ambil masa juga untuk saya terima tawaran pengarah, Dr. Ahmad Idham. Saya ini penakut, jadi bila dapat tawaran filem seram, saya jadi ragu-ragu. Tetapi saya fikir, bila lagi nak cabar diri. “Seminggu pertama memang saya takut. Habis penggambaran sebelum sampai rumah, saya akan singgah mana-mana. Saya juga bertanya kepada pengarah, ada ustaz tak di set pengambaran.
“Tetapi sekarang, tidaklah takut sangat. Tambahan pula dengan nasihat dan penglibatan kru di set penggambaran, perasaan itu bertukar tenang. Jaga mulut, jaga perangai,” katanya. Berkongsi pengalaman, Eyka berkata, dia cukup takut ketika diminta untuk melakonkan babak dalam kubur yang disifatkan cukup mengerikan.
“Saya kena masuk kubur sendiri, malam pula itu. Sampai demam tau. Walaupun penggambaran bukan di kawasan kubur sebenar, tetapi saya dapat bayangkan apatah lagi bau tanah cukup kuat. “Memang menyeramkan tetapi saya gembira. Itu kali pertama saya dapat watak yang betul-betul di luar zon selesa saya,” ujarnya. -CARI Sumber: Utusan Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|