Penonton Konsert Slam - Nurkasih di Zepp Kuala Lumpur, yang berlangsung malam tadi, bingung apabila penyanyi Slam, Zamani dikatakan tidak sihat dan mereka terpaksa menghentikan persembahan.
"Maaf, kami tidak dapat meneruskan persembahan kerana Zamani kurang sihat," kata pemain bassnya, Lili sebelum mereka yang ketika itu sudah menyampaikan 16 lagu meninggalkan pentas. Bagaimanapun, Zamani dan Slam kembali semula ke pentas beberapa minit kemudian dan menyampaikan dua lagu 'encore' iaitu Mentari Muncul Lagi dan Kembali Terjalin. "Minta maaf andai kata stamina dan suara kami tidak lagi sama seperti dulu, bukan saja faktor kesihatan, malah usia juga turut memainkan peranan. Umur pun semakin 'muda'," kata Zamani. Kemunculan Zamani nyata membuatkan peminat lega kerana Slam tampil semula dengan persembahan 'encore' itu. Terdahulu, Zamani ada meluahkan kebimbangan mengenai kesihatannya dan berharap keadaannya terus stabil pada malam konsert yang dibawakan AV Group & WMD Event itu.
Antara lagu yang dipersembahkan malam tadi ialah Kembali Merindu, Buat Seorang Kekasih, Suratan, Kurnia, Maria Mariana, Jika Kau rasa Getarnya, Tak Mungkin Berpaling, Gerimis Mengundang dan banyak lagi. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT