Bapa mentua kepada Aziz M Osman iaitu Lokman Ghani menyifatkan pelakon dan pengarah itu sebagai menantu yang baik. Lokman, 62, yang juga pengarah teater berkata dia reda jodoh anaknya, Puteri Lily dan Aziz hanya bertahan 13 tahun.
"Saya lihat mereka bercerai secara matang. Saya tetap anggap Aziz sebagai anak dan ahli keluarga sendiri. "Aziz dan Lily ada berjumpa saya memaklumkan yang mereka dah buat keputusan mahu berpisah (cerai). Sebagai bapa, tentulah saya rasa sedih tetapi menghormati keputusan mereka dengan baik. "Dulu pun ketika nak berkahwin, mereka yang pilih dan buat keputusan. Jadi, apabila mahu berpisah, mereka juga yang buat keputusan itu. Cuma, sampai sekarang saya masih tidak tahu apa punca sebenar yang membawa mereka hingga bercerai," katanya. Tambahnya lagi, sepanjang pasangan itu hidup bersama sebagai suami isteri, Lily tidak pernah mengadu atau bercerita kisah rumah tangga mereka menyebabkan Lokman beranggapan rumah tangga mereka bahagia.
"Saya mohon doakan yang terbaik untuk mereka. Malah, dah sebulan pun Aziz dan Lily bercerai, saya lihat hubungan mereka tetap baik seperti biasa. Apapun, saya akan terus mendoakan kebahagiaan mereka," katanya. Semalam, Puteri Lily membuat perkongsian di Instagram Story memaklumkan dia dan Aziz yang juga pengarah dan pelakon popular sudah sah bercerai talak satu, awal bulan lalu. Tujuan perkongsian hantaran itu dibuat kerana Puteri Lily mahu mengelak fitnah. Malah, anak sulungnya hasil perkongsian hidup dengan Aziz iaitu Puteri Nur Azzahra, 11, juga mengetahui dan menerima keputusan perpisahan itu. Aziz dan Puteri Lily mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2010. Mereka dikurniakan dua anak, Puteri Nur Azzahra dan Putera Muhamad Aryan yang kini berusia lima tahun. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT