Sembilan lelaki ditahan polis selepas dipercayai terbabit pergaduan di hadapan sebuah premis kedai di Sri Jaya, Maran, kira-kira 86 kilometer dari Kuantan pada Ahad. Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman mengesahkan insiden sekitar jam 1 tengah hari itu menyebabkan tiga suspek mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Maran.
"Siasatan awal mendapati punca pergaduhan akibat salah faham yang mana salah seorang suspek telah meletakkan motosikal di belakang sebuah kereta dan menghalang laluan sehingga berlaku pertengkaran dengan pemandu," katanya, menerusi kenyataan, malam Ahad. Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 23 dan 59 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Norzamri memohon agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam selain merakamkan penghargaan di atas kerjasama masyarakat sehingga pihaknya dapat menangkap suspek yang dikehendaki. Terdahulu, tular video berdurasi lebih 20 saat di aplikasi WhatsApp yang memaparkan insiden pergaduhan membabitkan beberapa individu. Sumber: BERNAMA
|
ADVERTISEMENT