CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

CAP Dakwa 200 Daripada 300 Kanak-Kanak Mengaku Hisap Vape

25-4-2023 11:22 AM| Diterbitkan: tatod| Dilihat: 191| Komen: 1|Original author: Tatod

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa sebilangan besar kanak-kanak mengaku mencuba vape dan e-rokok kepunyaan bapa atau abang.

Hasil soal selidik CAP mendapati kanak-kanak berusia 9 hingga 12 tahun mengakui bahawa mereka mencuba vape dan e-rokok bapa semasa berada di rumah atau dalam kereta.


Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis, NV Subbarow mendakwa, pengakuan itu didedah oleh kanak-kanak semasa program kesedaran merokok, vape dan penggunaan e-rokok yang dijalankan CAP di beberapa sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang.

Gambar hiasan.

Katanya, seramai 200 daripada 300 kanak-kanak yang ditemukan CAP semasa program tanpa nikotin bagi kanak-kanak mengaku bahawa mereka mengambil vape dua kali seminggu.

"Sebenarnya mereka bukan perokok dan murid mengaku ia adalah cara mula mereka mencuba vape dan e-rokok berkenaan.


"Mereka juga mengakui adik-beradik lelaki mencadangkan mereka mencuba vape walaupun kadang-kadang menolak atau berkata tidak kepada produk berkenaan.

"Mereka tidak pernah menyentuh rokok tetapi kini mula menghisap vape dan daripada empat kanak-kanak, seorang daripadanya adalah perempuan dan ketagih manakala di sekolah menengah, nisbahnya ialah enam yang mana dua adalah pelajar perempuan, " katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Subbarow lagi, 'vaping' atau menghisap vape adalah tindakan menyedut wap yang dihasilkan oleh e-rokok atau 'vaporizer'.

Soal selidik itu juga mendapati bapa dan abang kepada kanak-kanak berkenaan kerap menggunakan produk terbabit di rumah atau semasa memandu dan mereka bersetuju berminat mencubanya walaupun menyedari ia adalah merbahaya.

Katanya, bapa atau abang dengan santai memberi gajet vape kepada mereka yang duduk di tempat duduk penumpang serta di rumah dan apabila menawarkan vape, mereka selalu mengatakan ia hanyalah jus buah dan tidak perlu risau.

"Mereka menghisap vape di rumah apabila ibu bapa tiada kerana bau buah itu, ramai kanak-kanak mengakui bahawa mereka percaya bahawa ia diperbuat daripada buah-buahan atau gula-gula.

"Sehubungan itu CAP menggesa pentadbiran sekolah membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti CAP bertemu dengan pelajar bagi memberi kesedaran mengenai bahaya merokok, vape, e-rokok dan jus yang mengandungi nikotin.

"CAP bimbang jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak seawal 8 tahun dan pelajar sekolah menengah akan ketagih vape.

"Batang berwarna-warni yang berperisa manis menarik minat kanak-kanak malah kartrij vape mempunyai nama dan perisa yang menjadikannya bunyi seperti gula-gula, seperti coklat pudina, mangga dan titisan limau beku," katanya.

Menerusi laporan WHO, terdapat 16,000 jenis perisa vape di pasaran yang mengandungi bahan kimia yang menjejaskan kesihatan.


Sumber: HARIAN METRO




Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-12-2024 10:56 PM GMT+8 , Processed in 0.185092 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top