Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan membuat laporan polis terhadap penerima dana filem yang terbukti melakukan penyelewengan hingga mengakibatkan filem gagal disiapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim juga tidak menolak kemungkinan nama produksi terbabit akan didedahkan sebagai pengajaran buat semua pihak. "Selepas membuat pendedahan, saya menerima banyak maklum balas dan aduan yang mendakwa dana perfileman yang diberi disalah guna oleh pihak berkenaan, baru-baru ini. "Ada yang membelanjakan wang untuk kepentingan peribadi seperti membeli kenderaan dan mengubah suai kediaman. "Bagaimanapun, ia hanyalah sekadar dakwaan dan tidak disertai dengan bukti kukuh. Saya faham mungkin si pengadu mempunyai alasan tertentu untuk tidak mengemukakan bukti. "FINAS akan membuat siasatan terperinci dan jika terbukti memang berlaku penyelewengan, kami akan buat laporan polis.
"Kami juga akan berbincang dengan peguam dan jika ada keperluan, kami tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan nama syarikat terbabit sebagai peringatan bersama," Kelmarin, Md Nasir dilaporkan berkata, FINAS akan menyaman seramai 47 individu dan syarikat produksi yang dikenal pasti menerima dana filem berjumlah RM20 juta tetapi tidak menerbitkan filem. Beliau berkata, tindakan diambil berdasarkan audit membabitkan geran antara 2013 dan 2017. Sementara itu, Md Nasir turut memaklumkan tindakan tegas FINAS memberi kesan positif apabila ada antara penerima dana yang dimaksudkan mula menghubungi FINAS untuk mencari jalan penyelesaian. "Selepas berita tersiar, ada beberapa syarikat produksi yang sebelum ini gagal dikesan menghubungi FINAS untuk membuat rundingan semula. "Ada juga yang memaklumkan filem sudah disiapkan. FINAS kena tegas dalam isu seperti ini kerana dana filem diberi membabitkan wang pembayar cukai," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sijil kepada peserta Bengkel One Step Closer dan penyampaian Insentif Filem Cereka (ITFC 2.0), semalam. Sumber: BH ONLINE |
ADVERTISEMENT