BEIJING – Pihak berkuasa bandar Xi’an, China dikritik selepas mencadangkan pelaksanaan perintah berkurung sekiranya perlu bagi memerangi wabak selesema pada masa akan datang. BBC melaporkan, berdasarkan pelan tindak balas kecemasan yang didedahkan Rabu lalu, Xi’an akan menutup beberapa kawasan dan sekolah jika sesuatu wabak penyakit menimbulkan ancaman teruk kepada orang ramai.
Ramai pengguna internet mendakwa rancangan itu berlebihan terutamanya selepas beberapa siri kritikan terhadap dasar kawalan Covid-19 di China. Kes selesema biasa dilaporkan meningkat di seluruh China ketika gelombang terbaharu Covid-19 semakin berkurangan. Peningkatan jangkitan itu juga menyebabkan berlakunya kekurangan ubat antivirus di kebanyakan farmasi seluruh negara. Walaupun masih belum ada keputusan untuk melaksanakan perintah berkurung di Xi’an pada masa ini, orang ramai bimbang sekiranya rancangan itu serupa dengan pendekatan sifar Covid yang dimansuhkan pada Disember 2022.
Seorang pengguna menulis di platform media sosial China, Weibo bahawa wabak influenza menjadi perkara biasa sebelum Covid-19 muncul dan kehidupan penduduk berjalan seperti biasa apabila ia melanda. Pengguna lain pula mendakwa pemerintah tempatan ‘ketagih’ untuk mengelak dan mengawal wabak.-CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT