Bekas isteri kepada pemuzik Ude yang juga bekas madu Izreen Azminda, Intan Liana Salleh, 38, menyifatkan kejadian malang yang menimpa isteri Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri, 29 yang dipercayai ditumbuk suaminya hingga menerima 10 jahitan adalah tindakan kejam.
Intan geram apabila mengetahui kejadian itu dan menyifatkan perbuatan mengasari wanita adalah tidak baik. "Saya geram dan simpati terhadap Shuhada. Bagi saya kalau sudah lakukan perkara terbabit (berpisah), teruskan saja tapi janganlah sampai aniaya atau kasari perempuan. Itu perbuatan yang sangat salah. "Semua sudah habis (berpisah), jadi kenapa perlu berkasar begitu. Saya tidak setuju dengan apa yang dilakukan," katanya.
Intan yang pernah hidup bermadu dengan pelakon, Izreen Azminda memberitahu, dia ada berhubung dengan Shuhada dan bercakap mengenai dugaan yang dilaluinya. "Saya ada berhubung Shuhada. Dia ada mesej saya di media sosial dan minta kata-kata semangat. Itu sahaja. Kami mula berhubung sekitar bulan lalu. Dia yang mesej saya terlebih dulu. "Awalnya dia ada minta saya untuk hubunginya namun tidak berlaku memandangkan saya baru selesai urusan proses pindah rumah. Cuma beberapa hari lepas baru kami dapat berhubung. "Saya cakap pada Shuhada, apa-apa pun kita kena kuat, fikir anak-anak dan masa depan. Apa yang terjadi mungkin sudah ditakdirkan. Jadi kita perlu teruskan kehidupan," katanya.
Dalam pada itu, Intan berharap setiap wanita perlu mempunyai persediaan dan memiliki kewangan. "Macam saya memang dulu bermula dengan 'zero', tiada apa-apa. Samalah macam Shu (Shuhada). Jadi apa yang saya boleh nasihat berdasarkan pengalaman adalah rezeki itu akan ada untuk kita. "Jangan takut, pada masa depan kita akan lebih bahagia. Sebelum ini pada peringkat awal memang saya rasa 'down'. Semua perasaan kita sudah rasa. Cuma sekarang Alhamdulillah kehidupan semakin bahagia. "Soal kewangan, semua bergantung kepada individu. Ada yang memilih untuk bergantung pada suami, keluarga atau sebaliknya. Cuma bagi saya apa yang terjadi membuatkan saya rasa kena ada (kewangan sendiri). "Sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Kita perlu teruskan (bagi yang mula cari nafkah sendiri) sedikit demi sedikit. Malah walaupun kini saya sudah berkahwin, saya tetap teruskan perniagaan. Boleh juga untuk bantu suami dan keluarga," katanya.
Sebelum ini Intan pernah menarik perhatian ramai dengan kisah pergolakan rumah tangga dengan Ude atau nama sebenar, Muhammad Radzi Abdul Wahid pada 2017. Intan yang bercerai dengan Ude pada 2018, sempat bermadu dengan pelakon, Izreen Azminda. Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki, Arish Muqri, 10, dan Ariq Muqri, 8. Selepas tiga tahun bergelar ibu tunggal, Intan berkahwin dengan penjawat awam Mohd Aizam Yahya, 27 pada 20 Disember 2021 dan memiliki seorang cahaya mata lelaki pada 4 September tahun lalu. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|