Buenos Aires: Dua nelayan menemui anggota badan seorang lelaki Argentina yang hilang secara misteri 10 hari lalu di dalam jerung yang mereka tangkap, kata penyiasat. Diego Barria, 32, yang juga seorang pekerja industri minyak dilaporkan hilang pada 18 Februari dan mayatnya dikenal pasti melalui tatu di bawah lengan.
Mayat Barria ditemukan selepas nelayan terbabit menangkap tiga jerung yang disenaraikan sebagai kritikal terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi, berhampiran bandar Comodoro Rivadavia iaitu 1,500 kilometer (km) ke selatan Buenos Aires. Pada hari Barria hilang, dia keluar untuk menunggang basikalnya. Dia dilihat pulang ke rumah hampir tengah malam tetapi tidak tiba di kediamannya. Dua hari kemudian, basikal dan topi keledarnya yang rosak ditemukan di kawasan pantai berhampiran, namun Barria tidak ditemukan.
Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Cristian Ansaldo berkata, tiada teori kuat bagaimana Barria meninggal dunia, tetapi ada kemungkinan mangsa terhempas ke (kawasan) batu dan dihanyutkan ombak. "Apabila nelayan memotong jerung untuk mengeluarkan isi perut mereka, mereka menemui kepingan kulit, lemak dan daging manusia di dalamnya, " kata polis. Pihak berkuasa juga mengeluarkan rakaman audio di mana salah seorang nelayan memberitahu sepupu mengenai penemuannya. Barria dikenali dengan tatu mawar bersama nama Josefina.-CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT