Padah bertindak mengikut perasaan, pengarah balet Jerman yang pernah memenangi anugerah, Marco Goecke digantung kerja selepas mencalit najis anjing pada muka wartawan, Wiebke Huster. Difahamkan, dia berbuat demikian kerana berang dengan ulasan Huster mengenai salah satu rancangannya.
Goecke menjadi pengarah di Teater Hanover sejak 2019 dan memenangi hadiah Tarian Jerman 2022. Dia dikatakan membawa najis anjing dalam beg kertas sebelum bersemuka dengan Huster pada waktu rehat satu persembahan lalu mencalit najis berkenaan ke wajah wanita itu. Majikan Huster, Frankfurter Allgemeine Zeitung (FAZ) berkata, polis sedang menyiasat kes tersebut. Huster dilaporkan membuat penilaian terhadap rancangan Goecke, In The Dutch Mountains yang didakwanya ‘mengecewakan dan penuh kebosanan’.
Ketika ditemu bual BBC, Huster menjelaskan dia terkejut dengan serangan Goecke yang disifatkan kejam. “Apabila saya menyedari apa yang berlaku, saya menjerit, saya panik… Saya boleh memberi jaminan bahawa ia bukan tindakan impulsif (tergesa-gesa) tetapi telah merancang untuk melakukan ini. Saya menganggapnya sebagai tindakan yang bertentangan dengan kebebasan akhbar,” katanya dipetik MalaysiaGazette. Goecke yang berang dengan ulasan Huster berkata, penilaian teruk oleh wartawan itu telah merugikan langganan Hanover Opera House. Dia bagaimanapun tidak bernasib baik kerana Hanover Opera House menyifatkan serangan dibuatnya bertentangan dengan peraturan, mengenakan penggantungan terhadapnya. Sementara itu, akhbar FAZ iaitu tempat Huster bekerja menyifatkan insiden itu sebagai percubaan untuk menakut-nakutkan pandangan bebas dan kritis media terhadap seni. - CARI |
ADVERTISEMENT