Catriona Ross, 41, menyuarakan rasa tidak setuju dengan kenyataan sesetengah pihak yang lebih mengutamakan rupa berbanding bakat lakonan.
Catriona juga menegaskan agar semua pihak tidak mengagungkan pelakon yang cantik sahaja. “Saya datang daripada zaman sebelum lahirnya media sosial, saya perlu berusaha sendiri untuk menghadiri sesuatu uji bakat ketika dahulu. “Saya memulakan industri ini dengan penuh kesusahan, semua itu bergantung kepada apa yang kita dapat iaitu bakat dan kesungguhan. “Jadi saya memang tidak bersetuju dengan kenyataan sesetengah pihak yang lebih mementingkan paras rupa berbanding bakat.
“Kalau kita sebagai penerbit dan mengagungkan mereka yang mempunyai wajah yang cantik dan tampan, kita sendiri yang merosakkan industri. “Ia amat penting untuk kelihatan menarik tetapi untuk menjadi menarik kita boleh cipta ia dengan perwatakan, penampilan, solekan dan juga personaliti. “Ia satu perkara yang saya takkan setuju, saya lebih suka tengok wajah-wajah biasa sahaja. Lagipun sekarang ramai penata gaya dan juru solek yang bagus. Jadi tak perlu kita agungkan mereka yang cantik tapi tiada bakat sebab bakat boleh datang dalam diri sendiri,” jelas Catriona.
Tambah Catriona, dia berharap pelapis-pelapis baharu akan lebih bersungguh-sungguh dan sentiasa mencari ilmu serta tidak berbangga dengan jumlah pengikut yang ramai. “Kalau anda serius untuk berada dalam industri, perlu cari ilmu sebenarnya supaya dapat pengetahuan mengenai lakonan dan beraksi. “Sebab ramai antara kita kurang pengetahuan, saya tak cakap saya bagus tetapi saya cuba cari ilmu daripada saya usia remaja lagi saya pergi kelas lakonan, berguru dengan Allaharyamah Azean Irdawaty. “Saya harap pelapis baharu lebih serius dan jangan terlalu bangga dengga jumlah pengikut yang ramai kerana itu tidak menjanjikan yang terbaik dari diri anda,” katanya kepada XTRA.
Nama Catriona juga sering menjadi perhatian di aplikasi TikTok apabila sering membuat pelbagai kandungan sehingga dianugerahkan Ikon Influencer Kelantan, baru-baru ini. “Itu adalah cara saya untuk sampaikan mesej kepada pengikut saya sebab ada ketika saya rasa ada perkara yang ingin saya sampaikan tetapi tidak boleh dengan cara yang biasa.
“Saya ingin tahu minat dan perhatian seseorang agar dia boleh faham apa yang saya ingin sampaikan dan sudah tentu saya ingin dekat dengan pengikut saya “Alhamdulillah baru-baru ini saya telah diangkat sebagai Ikon Influencer Kelantan sempena Majlis Apresiasi Penggiat Seni Wanita Kelantan.
“Untuk saya menerima anugerah ini, bermakna ramai pengikut dari negeri Kelantan peka dengan dengan kandungan-kandungan saya. Saya juga mahu berkongsi bahawa kita tidak perlu malu untuk bercakap dalam dialek sesebuah negeri itu. Itulah mesej yang saya ingin sampaikan. “Saya bersyukur dan teruja sangat dengan anugerah tersebut,” ujarnya gembira. -CARI Sumber: XTRA
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|