Intan Najuwa kata kontroversi itu bukan sesuatu yang menjatuhkannya. Bagi Intan, dia enggan melatah setiap kali namanya terpalit dengan apa juga lumpur kontroversi yang tidak dijangka.
"Kontroversi itu perkara biasa. Kita buat apa sekalipun, akan timbul kontroversi. Saya pilih untuk lebih berdiam diri. Saya selesa untuk santai dan bertenang," katanya. Ditanya mengenai tindakannya setiap kali berdepan kontroversi panas membabitkan namanya, Intan memilih untuk bertenang berbanding mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.
"Kalau saya melenting, takut ada perkara lain yang timbul, contohnya melakukan kesilapan atau tercakap benda buruk yang mampu mengeruhkan keadaan. "Saya dah biasa dengan kontroversi, bahkan ibu saya sendiri pun berpesan, kalau ada apa-apa berlaku, anggap itu perkara biasa. Yang penting, kena matang. "Bila dah tenang, baru bercakap mengenai perkara itu. Saya pun tak terlalu ambil tahu sangat kalau ada kontroversi yang timbul sebab banyak lagi kerja yang saya perlu buat," katanya.
Menurutnya, kita sebagai individu berhak memilih dan menyaring apa sahaja anasir yang melangkah masuk dalam kehidupan kita. "Mana yang negatif saya tolak dahulu sebab saya tak mahu wujudkan perkara bersifat toksik dalam kehidupan. "Hidup perlu diteruskan, begitu juga dengan kerja. Jangan biarkan perkara negatif merosakkan hari-hari kita," katanya.
Di sebalik tubuh kecil pelakon berusia 25 tahun ini, ada 'tembok besar' yang menjadi pendinding, sekali gus menguatkan semangatnya terus berkarya. "Keluarga saya sangat 'up to date' dan kalau ada apa-apa kontroversi yang timbul mengenai saya, mereka yang tahu dahulu. "Mereka sangat kuat dan sentiasa ada di belakang saya. Kata mereka, 'tak apa, kami ada dan jangan tertekan'. "Sampai sekarang saya rasa kontroversi itu tidak menjatuhkan saya sebaliknya membakar semangat saya untuk terus bekerja, belajar dan meningkatkan kualiti hidup," katanya.
Penuntut peringkat asasi jurusan undang-undang di sebuah kolej di Singapura ini juga berkongsi mengenai bagaimana dia membahagikan waktunya sebagai pelakon dan pelajar. "Orang nampak seperti semuanya mudah, namun ia sebenarnya satu proses yang mencabar. Kalau nak bercakap mengenai waktu tidur, memang tak mencukupi sebab setiap hari saya hanya tidur empat jam.
"Pernah juga sebelum ini saya jatuh sakit kerana terlalu memaksa diri untuk fokus. Tapi, semuanya dapat disusun," katanya. Menurut Intan, dia menggunakan masa terluang di set penggambaran untuk menelaah pelajaran. "Kalau saya berada di set penggambaran dan ada waktu terluang, saya curi masa untuk belajar menggunakan iPad. "Memang iPad dan telefon pintar menjadi alat penting untuk saya belajar. Seminggu sebelum peperiksaan, saya akan mula mengulang kaji dengan mendengar semula apa yang pensyarah ajar. "Penat atau tidak, saya tak ada pilihan sebab saya perlu bekerja dan belajar juga. "Ibu saya pesan, kalau kerja apa sekalipun, kalau dah berkahwin dan ada anak, sekiranya ada niat untuk belajar, terus belajar sejauh mana yang boleh," katanya.
Ditanya mengenai perancangannya selepas tamat pelajaran, Intan tidak menafikan mengenai cita-citanya untuk bekerja sebagai peguam. "Sebab saya menuntut dalam jurusan undang-undang, tentunya saya ada menyimpan impian untuk menjadi peguam suatu hari nanti. "Namun, buat masa sekarang, rasa cinta saya lebih kepada dunia lakonan. Memang setiap hari, bangun tidur, saya nak ke set penggambaran untuk bekerja. "Tapi, dengan adanya pelajaran dalam bidang yang saya ambil, saya dapat jadikannya sebagai rancangan tambahan untuk masa depan memandangkan saya pun tak tahu, sampai bila saya akan berlakon," katanya.
Terbaharu, Intan kini membintangi drama bersiri berjudul Jesnita arahan Emi Suffian yang ditayangkan di Astro Prima bermula Isnin lalu. Selain Intan, drama bersiri itu turut membariskan barisan pelakon hebat antaranya Nasha Aziz, Yusuf Bahrin, Male McCrone, Fikry Ibrahim dan Nina Smith. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|