Datuk Seri Eizlan Yusof sedia berundur daripada arena seni hiburan seandainya memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Eizlan merangkap calon Gerakan Tanah Air (GTA) Parlimen Sabak Bernam yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, masalah dan keperluan masyarakat Sabak Bernam menjadi keutamaan jika dipilih menjadi ahli Dewan Rakyat. “Saya enggan menjanjikan bulan dan bintang, cuma apabila diamanahkan tanggungjawab saya pastikan lakukan dengan sepenuh hati. “Kita pun tak tahu apa yang bakal berlaku, tetapi andai penduduk Sabak Bernam beri peluang, saya akan ‘lepaskan’ industri seni bagi memberi fokus kepada mereka,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pada masa sama, Eizlan, 51, memaklumkan punya sebab tersendiri tidak mengeluarkan sebarang manifesto, sebaliknya lebih selesa bertemu sendiri masyarakat di kawasannya bagi mendengar suara mereka.
“Niat saya hanyalah untuk bekerja dan memberikan khidmat kepada penduduk menyebabkan saya rasakan tidak mengeluarkan sebarang manifesto. “Lebih baik saya berjumpa untuk mendengar sendiri keluhan mereka seterusnya menyelesaikan masalah, selain meningkat lagi kualiti kehidupan masyarakat setempat. “Saya juga sudah punya pelbagai perancangan untuk warga Sabak Bernam yang akan dikongsikan apabila berjumpa dengan penduduk nanti. “Bagi saya pemilihan sebagai calon GTA bagi PRU15 ini sebagai mandat besar untuk saya terus menabur bakti kepada bangsa dan negara,” katanya lagi.
Terdahulu, majlis pengumuman calon PRU15 GTA-Pejuang, turut menyaksikan tiga lagi selebriti diangkat sebagai calon dalam PRU15. Mereka adalah pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta aktor, Lando atau Azlan Sani Zawawi selaku Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood yang dipertaruhkan GTA di Tanjung Karang. Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli pula akan bertanding di Lenggong, Perak mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sementara itu, Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof, 51, yang juga Ketua Penerangan Pejuang Wilayah Persekutuan bakal berdepan tiga pencabar lain bagi merebut kerusi Parlimen Sabak Bernam.
Eizlan bakal berdepan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Rahman Bakri, Shamsul Maarif Ismail (Pakatan Harapan) dan Datuk Mohd. Fasiah Mohd Fakeh (Perikatan Nasional). Terdahulu, Eizlan pernah menggalas tugas sebagai Pengerusi, Hal Ehwal Industri, Kebajikan & Data Industri selain Pengerusi, Skim Wajib Tayang, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Selepas itu dia dilantik sebagai Perunding Kreatif kepada Menteri Luar ,Kementerian Luar Negeri pada 2021. -CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|