Nana Mahazan terkejut apabila puteri sulungnya, Althea Raqeem Brian yang berusia 12 tahun mahu memakai tudung. Nana berkata, ketika anaknya menyatakan keinginan itu dia tidak mengambil serius, namun tidak menyangka Althea kini sudah mengenakan tudung hampir empat bulan.
"Dia membuat keputusan itu tanpa sebarang paksaan. Pada awalnya dia bertanya kepada saya adakah setiap wanita perlu memakai tudung selepas datang haid. "Saya pun menjawab pertanyaannya itu dan memberitahu pemakaian tudung ini adalah wajib bagi wanita untuk menutup aurat. Tapi saya maklumkan padanya yang saya pun mula pakai tudung sejak tahun lalu.
"Ketika saya belum bertudung, dia tidak pernah bertanya mengenai perkara ini. Tapi mungkin selepas melihat saya sudah mula bertudung dan rakan-rakan sekolahnya pun sama membuatkan banyak persoalan bermain dalam fikirannya. "Alhamdulillah ketika saya menghantar anak-anak ke rumah keluarga kerana saya dan suami pergi bercuti pada Jun lalu, mak saya hantar gambar Athea bertudung dan keesokan harinya ketika mereka pergi mandi sungai pun dia masih nak pakai tudung. Jadi bermula dari situlah dia berhijab sehingga sekarang," katanya kepada Harian Metro.
|
ADVERTISEMENT