Sudah tidak tahan dengan kontroversi melanda dirinya, pelakon Fatin Afeefa menyatakan hasrat untuk meninggalkan bidang seni yang diceburinya sejak 20 tahun lalu.
Fatin atau Fatin Nur Afifah Shamsudin, 28, berkata, dia mengambil keputusan itu kerana tidak mahu lagi anak-anaknya menjadi mangsa keadaan disebabkan kontroversi tidak berkesudahan melibatkan dia dan bekas suami, aktor Adam Shahz. Malah kata pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Tentang Bulan ini, sudah hampir setahun dia tidak menerima sebarang tawaran menyanyi atau pun lakonan. "Saya sudah tidak mahu hidup seperti ini. Saya dah berhenti berlakon dan menyanyi. Sudah 10 bulan saya tidak berlakon," katanya.
Sebelum ini, Fatin dan Adam sering bertikam lidah berhubung pelbagai dakwaan termasuk Adam dikatakan mengabaikan bayaran nafkah terhadap anak mereka. Adam pula membidas kenyataan tersebut dan memberitahu mempunyai bukti pembayaran kepada Fatin. Dalam pada itu, Fatin turut mengalirkan air mata ketika sesi siaran langsung berkenaan dan berharap agar Adam bahagia selepas melemparkan pelbagai tuduhan terhadap dirinya sebelum ini. Fatin turut mempersoalkan tindakan bekas suaminya itu yang terus menerus mengeluarkan kenyataan tidak benar tentang dirinya kepada umum namun tetap mendoakan agar aktor itu bahagia dengan kehidupannya.
"Saya masih simpan lagi pesanan teks awak. Saya tak mahu awak berlakon lagi! "Berilah dia populariti kalau dia memang bahagia hidup seperti ini. Saya tidak pernah membuat apa-apa kenyataan, tapi dia?," ujarnya. Berkongsi mengenai perancangan selepas ini, Fatin berkata, dia mahu memberi fokus kepada dua anaknya yang sedang membesar dan perniagaan yang sedang diusahakan.
Sementara itu, rata-rata peminat memberikan sokongan dan kekuatan buat ibu tunggal ini untuk terus kuat menjalani kehidupan. "Stay strong, ramai sokong awak dan anak-anak. Awak kuat Fatin! Teruskan perjuangan awak. Bekas suami awak tidak ada bukti pun kalau dia nak cakap bukan-bukan," tulis netizen. Untuk rekod, Fatin dan Adam mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2013 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Ivy Herra Sophia yang kini berusia tujuh tahun.
Namun rumah tangga dibina itu hanya berkekalan selama empat tahun sebelum mereka bercerai pada 30 Mei 2017. Fatin turut mempunyai seorang anak lelaki, Adam Aisy Adam hasil perkahwinan terdahulu. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|