Aplikasi TikTok kini menjadi platform pilihan umum bukan sahaja untuk mempamerkan bakat tetapi juga medan peniaga memasarkan produk jualan mereka. Ada juga yang menjadikan aplikasi tersebut sebagai tempat berkongsi ilmu.
Memetik laporan Getaran, pelakon, Riezman Khuzaimi yang mempunyai 417,000 pengikut di TikTok turut berpendapat bahawa media sosial itu mampu merapatkan jurang masyarakat dengan pelbagai golongan.
"Awalnya, saya berpendapat TikTok ini hanya untuk golongan muda sahaja. Lebih-lebih lagi, mereka banyak terdedah dengan kandungan berbentuk hiburan dikaitkan dengan budaya hedonisme.
"Malah, saya dapati ramai terutamanya remaja menggunakan aplikasi TikTok termasuk anak-anak saya. Jadi, saya lebih cenderung berfikir aplikasi tersebut lebih sesuai untuk golongan itu," katanya.
Bagaimanapun, pandangan Riezman terhadap aplikasi tersebut mula berubah apabila dia mula aktif menggunakan media sosial berkenaan bagi berkongsi video masakan dan kehidupan hariannya.
Dengan penampilannya yang bersahaja ketika membuat video siaran langsung di TikTok Riezman turut meraih sumber pendapatan.
"Selain kongsi resepi makanan, saya turut berkongsi pengalaman dalam bidang lakonan yang mampu menjadi teladan kepada artis muda di luar sana.
"Saya juga memberi tunjuk ajar ilmu lakonan kepada artis muda yang baru nak up serta mereka yang minat berlakon.
"Pendek kata, selain jadi cikgu masak, saya juga jadi cikgu lakonan di TikTok," katanya. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My