London: Abang kepada wanita kurang upaya yang meninggal dunia akibat ulser kronik selepas ditinggalkan di lantai bilik tidurnya selama dua minggu dipenjarakan kerana membunuh tanpa niat.
Agensi berita BBC melaporkan Philip Burdett, 59, yang dilaporkan sebagai hoarder atau individu yang gemar mengumpul barang, dibayar elaun penjaga sebanyak 60 euro (RM276) seminggu untuk menjaga adiknya, Julie. Mayat Julie, 61, yang kurus kering ditemukan berlumuran najis, air kencing dan muntah sendiri apabila paramedik dipanggil ke rumah keluarga itu di Leicester pada 2019. Sebelum ini, bapa kepada dua beradik itu, Ralph, 93, didapati bersalah kerana membenarkan kematian orang dewasa yang rentan.
Mahkamah Crown Leicester, baru- baru ini, dimaklumkan, keluarga itu enggan membawa Julie ke hospital susulan kematian ibu Burdett, Grace, pada 2005. Hakim, Justice Pepperall ketika berkata, itu bukan kes pengabaian yang tidak berperasaan. "Memang, terdapat banyak bukti anda berdua sangat menyayangi Julie. "Saya terima, Julie sendiri membuatkan kamu berdua berjanji tidak akan membenarkan orang lain menjaganya dan kamu tidak akan menyebabkan dia dimasukkan ke hospital. "Saya terima (bahawa) anda meyakinkan diri anda (ia) adalah demi kepentingan Julie untuk tinggal di rumah. Kamu secara terang-terangan tidak bermaksud membahayakannya," kata Justice. Dalam prosiding itu, Burdett dipenjarakan selama tiga tahun selepas didapati bersalah oleh juri atas kesalahan kecuaian sehingga membunuh tanpa niat. Ralph pula dijatuhi hukuman penjara dua tahun. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT