Siapa di sini gemar memakai kanta lekap? Untuk pengetahuan semua, pemakaian kanta lekap kini menjadi satu trend. Kanta lekap bukan sahaja dipakai untuk memudahkan penglihatan, malah ramai yang memakainya untuk kelihatan cantik. Namun tahukah anda kanta lekap juga boleh menjadi satu mimpi buruk kepada seseorang.
Itulah yang terjadi kepada seorang wanita dari Indonesia sehingga membuatkan ramai panik. Wanita yang dikenali sebagai clarahnyh telah memuatnaik video berkenaan detik cemas itu di akaun Tiktok miliknya. Menerusi video tersebut, difahamkan wanita itu sedang buat live sambil memakai alat solek. Sebelum memakai alat solek, wanita itu telah memakai kanta lekap.
Namun tiba-tiba mata wanita itu terasa gatal dan dia terus mengosok matanya. Selepas mengosok matanya dengan agak 'kasar', wanita itu terkejut apabila kanta lekap di mata kanannya telah hilang. Situasi itu menjadi semakin cemas apabila wanita itu menyedari bahawa kanta itu sebenarnya tersangkut pada bahagian atas matanya.
Akhirnya kanta itu dapat dikeluarkan apabila rakan kepada wanita itu membantunya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen menasihati orang ramai agar tidak mengosok mata terlalu kuat apabila memakai kanta lekap. -CARI