JAKARTA: Seorang pelajar berusia 15 tahun di Riau hampir membakar gurunya gara-gara berasa marah setelah ditegur makan di dalam bilik darjah.
Lapor Kompas, ketua polis Kuansing, Rendra Oktha Dinata berkata, pelajar dikenali sebagai AW itu berasal dari Sekolah Menengah Kuantan Hilir di wilayah Kuansing, Riau. Katanya, pelajar itu berasa berang setelah tidak dapat menerima teguran daripada Asman. “Pelajar itu ditangkap makan di dalam kelas, Asman kemudian menegur AW dengan menyatakan `seenak perut kau saja di sekolah ini, lebih baik tidak perlu datang ke sekolah lagi, pulang sajalah,” katanya.
Jelas Rendra, ketika kejadian, pelajar itu hampir membakar Asman apabila keluar dari bilik guru setelah disoalnya. Katanya, AW mengambil botol minuman terbuang di dalam tong sampah lalu mengisinya dengan petrol. “Pelajar itu bertindak menuang petrol ke atas Asman dan kemudian mengambil pemetik api dari poketnya. “Asman segera melarikan diri dan memasuki Bilik Bimbingan Kaunseling. Beberapa guru lain menahan pelajar itu dan melaporkan insiden itu kepada polis,” katanya. Rendra berkata, AW ditahan dan kini dinamakan sebagai suspek oleh polis. Kata Rendra, sebelum ini AW didakwa cuba membakar sekolahnya namun ia berjaya dipadamkan. “Sekumpulan guru berjaya memadamkan api itu sehingga ia hanya membakar beberapa kerusi dan meja di kelas tersebut,” katanya. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT