Gara-gara gagal menjual racun tikus bernilai RM200, remaja lelaki mengamuk dengan merosakkan barangan jualan sebuah kedai runcit di Kampung Lati, Pasir Mas, semalam.
Dalam kejadian 10.30 pagi itu, suspek berusia 17 tahun menendang rak makanan ringan dan air mineral di premis berkenaan selepas pekerja kedai terbabit enggan membeli racun tersebut daripadanya, lapor Kosmo! Online. Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisoner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pekerja berkenaan menghubungi majikannya bagi memaklumkan mengenai harga tersebut dan mereka telah membuat keputusan untuk menolak pelawaan suspek kerana harga yang ditawarkan terlalu tinggi.
“Berang usaha menjual racun tikus itu gagal, suspek telah bertindak telah merosakkan barangan jualan di premis berkenaan. Suspek kemudian terus menaiki kereta jenis Proton Satria dan beredar dari premis berkenaan. “Siasatan turut mendapati, lelaki itu pernah datang ke kedai runcit berkenaan untuk membuat kacau dan memeras ugut pekerja dengan memaksa mereka membeli racun tikus pada harga tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Suspek ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam oleh anggota Balai Polis Bukit Panau, Tanah Merah. - CARI
|
ADVERTISEMENT