Risiko mengalami keradangan jantung atau myopericarditis selepas disuntik vaksin COVID-19 adalah 'sangat rendah' dengan hanya 18 individu terjejas bagi setiap satu juta dos, menurut kumpulan penyelidik dari Singapura.
Kajian mereka yang diterbitkan dalam jurnal perubatan, The Lancet mendapati tiada perbezaan ketara secara statistik antara kejadian myopericarditis selepas menerima vaksin bagi COVID-19 dan vaksinasi penyakit lain. Menurut kajian itu, sebanyak 56 kes bagi setiap satu juta dos dikesan bagi vaksin penyakit lain Myopericarditis adalah keradangan pada otot jantung dan ada kalanya menyebabkan kerosakan teruk pada jantung.
Kajian tersebut dijalankan oleh pengkaji daripada Pusat Jantung Universiti Nasional Singapura (NUHCS), Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (Perubatan NUS). Menurut kenyataan media bersama, pengkaji tersebut meneliti lebih 400 dos vaksinasi bagi membandingkan risiko myopericarditis selepas divaksin COVID-19 dan penyakit lain seperti demam selesama dan cacar. "Kajian kami mencadangkan keseluruhan risiko bagi myopericarditis nampaknya tidak berbeza bagi kumpulan vaksin COVID-19, berbanding vaksin bagi penyakit lain," kata Perunding Kanan di Jabatan Jantung, Toraks dan Vaskular di NUHCS, Dr Kollengode Ramanathan yang juga seorang daripada penulis kajian itu. Sebelum ini, terdapat beberapa laporan mengenai myopericarditis selepas divaksin mRNA COVID-19, terutama sekali dalam kalangan remaja dan dewasa muda. Pengkaji berkenaan juga mendapati dalam kalangan mereka yang menerima vaksin COVID-19, kejadian myopericarditis adalah jauh lebih tinggi bagi lelaki (berbanding wanita), dalam kalangan mereka bawah usia 30 tahun (berbanding 30 tahun ke atas), mereka yang menerima vaksin mRNA (berbanding vaksin bukan mRNA) dan selepas dos kedua vaksin (berbanding dos pertama atau ketiga). Kajian tersebut turut mencadangkan dasar seperti menawarkan vaksin bukan mRNA kepada kaum lelaki, khususnya mereka berusia bawah 18 tahun boleh dipertimbangkan bagi menangani risiko myopericarditis, sambil menimbangkan manfaat serta dan kemudaratan vaksin itu secara keseluruhannya. Ini menekankan bahawa risiko mengalami kesan sampingan buruk harus diimbangi dengan manfaat vaksinasi, seperti "risiko jangkitan yang lebih rendah, kemungkinan dimasukkan ke hospital, penyakit teruk dan kematian disebabkan COVID-19", kata Pakar Penyakit Berjangkit NUH, Dr Jyoti Somani. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT