Baghdad: Seorang lelaki Iraq berusia 103 tahun yang baru berkahwin kali ketiga mengimpikan isteri baharunya akan melahirkannya zuriat lebih ramai.
Mukheilif Farhoud Al-Mansouri yang dilahirkan pada 1919 dan berasal dari wilayah selatan, Al-Diwaniyah berkahwin dengan wanita berusia 37 tahun di Somar, kira-kira 180 kilometer dari Baghdad. Warga emas itu kini sudah mempunyai 15 anak dan ratusan cucu. Seorang daripada anaknya, Abdul Salam berkata, selepas ibunya meninggal dunia 23 tahun lalu, bapanya itu berkahwin lagi.
Namun katanya, isteri kedua itu pernah meninggalkan bapanya sebelum kembali semula kepada keluarganya, pada tahun ini. "Bapa menunggu beberapa bulan untuk melihat sama ada dia akan kembali. "Apabila dia tidak balik, bapa meminta kami mencarikannya isteri ketiga yang mampu melahirkan lebih ramai anak untuknya. "Pilihan kami ialah wanita baik yang dilahirkan pada tahun 1985. "Mereka bertunang dan kemudian majlis berinai diadakan diikuti dengan perkahwinan yang dihadiri anak-anak serta cucu-cucu," katanya menerusi Arab News yang memetik laporan Rudaw Media Network. Mukheilif berkata, isterinya masih muda dan bersedia untuk mempunyai lebih ramai bayi. "Saya tidak mahu apa-apa daripada anak-anak dan hanya berdoa Tuhan memberkati mereka dan dapat menemani saya," katanya. Selain itu, anak sulungnya, Kadhem, 72, pula tidak kurang hebatnya apabila mempunyai 16 anak perempuan dan 17 anak lelaki daripada sembilan perkahwinan dan kini mempunyai empat isteri. Kadhem berkata, ahli keluarganya sentiasa menghormati kehidupan dan percaya mereka tidak perlu takut untuk berkahwin dan mempunyai lebih ramai anak. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT