Sebuah agensi perisikan Ukraine mendakwa tentera Rusia berhampiran Kharkiv maut selepas makan pai beracun yang dihidangkan penduduk di kawasan tersebut.
Lapor Daily Mail, Direktorat Perisikan Utama Ukraine menerusi hantaran di Facebook menyatakan dua tentera dari Divisyen Senapang Bermotor Ke-3, mati serta-merta selepas makan juadah istimewa disediakan penduduk Izium. Dilaporkan, seramai 28 lagi tentera Rusia kini dirawat di wad unit rawatan rapi (ICU) selepas insiden keracunan itu. Ratusan tentera Rusia yang lain juga mengalami ‘kesakitan teruk’ selepas minum alkohol beracun yang diberikan oleh penduduk setempat.
“Ukraine menentang penceroboh Rusia menggunakan apa sahaja cara yang boleh. “Berdasarkan maklumat diterima, penduduk di Izium (wilayah Kharkiv) ‘melayan’ tentera Rusia dengan pai beracun. “Akibatnya, dua tentera mati serta-merta dan 28 lagi dikejarkan ke ICU manakala 500 lagi askar Divisyen Senapang Bermotor ke-3 Persekutuan Rusia dimasukkan ke hospital akibat keracunan alkohol yang tidak diketahui,” jelasnya. Dilaporkan, Rusia menyifatkan kematian tentera terbabit sebagai kehilangan tanpa pertempuran’ ketika Moscow mula menggerakkan usaha perang dengan memberi tumpuan kepada pertempuran di wilayah Donbas di timur Ukraine. Perbuatan sabotaj itu merupakan kempen peperangan awam terbaharu Ukraine yang berusaha menentang percubaan Rusia untuk menawan bandar di negara tersebut. Izium dijangka menyaksikan lebih banyak pertempuran dalam tempoh beberapa minggu lagi ketika Presiden Vladimir Putin berusaha untuk mengubah strategi peperangan di Ukraine. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT