Penyanyi legenda, Anuar Zain mendedahkan dia belum berkesempatan untuk menziarahi Nur Khawla Soleha iaitu anak perempuan pasangan Ernie Zakri dan Syamel sejak bayi itu dilahirkan pada 22 Februari lalu.
Menurut laporan Mstar, Anuar bimbangkan tahap ketahanan tubuh anak kecil itu apatah lagi Ernie juga masih dalam tempoh berpantang dan memerlukan rehat yang cukup.
Hanya melihat menerusi kiriman gambar, Anuar memuji Khawla seorang bayi comel berkulit putih gebu dengan bentuk bibir sama seperti ibunya.
"Memang dari dulu kalau ada sesiapa sahaja yang baru bersalin sama ada saudara atau rakan-rakan, saya hanya akan melawat selepas mereka habis tempoh berpantang.
"Kalau tinggal serumah, mungkin tiada masalah untuk tengok sekejap. Tapi kalau tinggal berasingan saya tidak berani untuk menziarahi ke rumah mereka.
"Saya pun ada maklumkan kepada Ernie, saya akan datang melawat selepas dia habis pantang. Biarlah saya tengok anaknya daripada gambar yang dihantar di telefon saja," katanya.
Bapa saudara kepada Ernie itu sentiasa berhati-hati ketika melawat bayi baru dilahirkan kerana tidak mahu menjadi punca yang mungkin menyebabkan kesihatan bayi terjejas.
"Bayi ada tahap ketahanan tubuh yang lemah. Kita pula dari luar datang ke rumah orang entah bawa apa. Untuk elakkan pekara tidak diingini berlaku, lebih baik tunggu sehingga ibu bayi berkenaan habis pantang terlebih dahulu sebelum datang melawat.
"Kalau mahu melawat selepas itu pun datanglah wakti siang. Kalau malam tak boleh. Kena sentiasa berjaga-jaga. Begitu juga kalau nak cium bayi, tak boleh sebab mereka masih lembut. Nanti kasihan pipi bayi kalau berkudis terkena jangkitan," katanya. -CARI