
Namanzee (Sumber Media Hiburan)
Baru-baru ini, stesen televisyen TV Al-Hijrah dikecam teruk gara-gara tindakan mereka menjemput Kak Long 7E atau nama sebenarnya Wan Nor Baizura Bharuddin, 33, sebagai salah seorang tetamu bagi program Trending.
Mengulas isu berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah, Namanzee Harris menjelaskan bahawa rancangan televisyen itu tidak dihentikan namun hanya episod yang membabitkan individu berkenaan sahaja yang digantikan dengan pengisian lain.
Memetik laporan Media Hiburan, katanya, program itu sama sekali tidak diharamkan atau ditangguhkan tayangannya. Hanya satu episod itu sahaja yang dilabelkan 'on hold'.
"Program Trending untuk TV Al-Hijrah berbeza dengan rancangan viral lain. Konsep yang kami tonjolkan adalah mengangkat isu-isu viral dan bagaimanakah seorang individu beragama Islam sepatutnya memberikan reaksi terhadap isu sedemikian.
"Apabila membincangkan sesebuah isu, tidak ada pilih kasih atau pilih bulu. Melihat pada situasi pada ketika program itu dirakamkan, individu berkenaan sudah pun membuat permohonan maaf secara terbuka.
"Melihat pada kejujuran seseorang itu memohon maaf, kita tiada ruang untuk menjangkakan apakah yang akan terjadi pada masa mendatang," katanya.
Bagaimanapun, pihak mereka terbuka menerima segala teguran untuk dijadikan panduan agar mereka lebih berhati-hati memilih tetamu jemputan pada masa akan datang.
Namanzee menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu salah faham kerana dalam program berkenaan Ustazah Isfadiah memberikan tazkirah kepada individu terbabit agar tidak melakukan perkara dilarang agama.
"Pada saya, apa yang berlaku itu salah faham. Apabila hos mempromosikan episod berkenaan dengan memuat naik gambar selepas sesi rakaman ia seolah-olah menggambarkan kami mengangkat individu berkenaan.
"Sedangkan hakikatnya lain. Mesej yang disampaikan dalam episod itu sebenarnya baik. Apa pun, kami berlapang dada dengan semua maklum balas yang diterima daripada orang ramai. Kami juga kesal dengan apa yang sudah terjadi.
"Bagaimanapun, apabila dilihat semula situasi terkini, rasanya belum tiba masanya untuk kami tayangkan kandungan tersebut walaupun mesej yang dikongsikan itu baik," katanya. - CARI